Bantuan mangsa banjir akan dipercepatkan - Utusan Malaysia

Bantuan mangsa banjir akan dipercepatkan

HAJIJI Noor (dua kiri) bersama Safar Untong (kiri) dan pegawai kanan lain yang menghadiri mesyuarat khas secara dalam talian di Sri Gaya, Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 kepada mangsa terjejas banjir akan diperluaskan ke Sabah.

Itu jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memastikan mangsa terjejas banjir di negeri ini mendapat bantuan dengan segera.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada permintaan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor semasa mesyuarat khas Pasukan Petugas Pengurusan Bencana Banjir Monsun Timur Laut yang diadakan secara atas talian hari ini.

Dalam mesyuarat berkenaan, Ismail Sabri berkata, bantuan itu akan dihantar dalam beberapa hari lagi.

Dalam taklimat mengenai banjir Sabah, Hajiji memaklumkan setakat pagi tadi, 23 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah yang terjejas telah dibuka bagi menampung 874 keluarga membabitkan 2,435 mangsa banjir

Enam daerah terjejas ialah Kota Marudu, Pitas, Paitan, Beluran, Sandakan dan Telupid terjejas akibat banjir.

Hajiji berkata, semua agensi berkaitan yang diarahkan untuk membantu mangsa banjir menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.

“Setakat ini, Sabah menerima sebanyak RM200,000 bantuan dan RM674,000 lagi diperlukan sebagai bantuan kewangan untuk setiap keluarga yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, kerajaan persekutuan mengumumkan setiap keluarga yang terjejas banjir akan diberi BWI berjumlah RM1,000 dan dalam masa sama, kerajaan negeri turut mengagihkan bantuan bakul makanan kepada mangsa.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri juga sedang menunggu laporan kerosakan infrastruktur akibat banjir di semua daerah yang terjejas.

Hajiji akan turut melawat daerah terjejas banjir di Kota Marudu, Pitas dan Paitan bagi meninjau sendiri dan bertemu sendiri dengan mangsa-mangsa banjir pada Rabu.

Hadir sama pada mesyuarat itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk Datu Rosmadi Sulai dan Pengarah Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri, Datuk Ag. Shahminan Ag. Sahari. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya