SEREMBAN: Seramai 500 orang pengusaha tani, penternak dan peladang di Negeri Sembilan terjejas akibat banjir baru-baru ini dengan kerugian yang dialami mencecah RM23 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Bakri Sawir berkata, jumlah yang direkodkan itu bagaimanapun akan meningkat selepas bencana banjir tersebut beransur pulih.
“Di Negeri Sembilan seramai 500 orang pengusaha termasuk petani, penternak terkesan melibatkan kos kerugian sebanyak RM23 juta akibat banjir. Kami akan cuba membantu mereka yang terkesan bagi membangunkan semula sektor pertanian ini termasuk agrikultur dan agro makanan.
“Bagaimanapun, dalam seminggu dua akan meningkat nilai selepas ada baki dua daerah lagi yang turut terjejas banjir iaitu di Tampin dan Jempol. Berkemungkinan akan ada pertambahan peringkat bantuan dan kami sedang dalam membuat kira-kira sehingga mengetahui berapa jumlah sebenar,” katanya
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dalam Program Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin, di sini hari ini.
Sementara itu katanya, Program Jualan Harga Ladang Nismilan telah mencecah sehingga pukul 2 petang tadi telah mencapai nilai jualan sehingga RM12,000.
“Program yang dilaksanakan selama sehari ini bagi mengurangkan kos sara hidup susulan kenaikan harga barangan dua bulan lalu. Inisiatif pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan harga 20 hingga 30 peratus kurang daripada harga pasaran.
“Saya berharap program seumpama ini akan diadakan lebih kerap sekali gus dapat mengurangkan beban dan mendatangkan sesuatu yang berfaedah untuk rakyat,” katanya. – UTUSAN










