ALOR SETAR: Percanggahan kenyataan antara dua pihak dalam Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) melibatkan Pengerusinya, Tan Sri Abu Zahar Ujang serta enam ahli lain, merupakan sesuatu yang amat mengejutkan.
Menurut Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri, percanggahan kenyataan tersebut bersama kenyataan dikeluarkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki setakat ini juga seakan merendah-rendahkan intelektual rakyat Malaysia.
Katanya, pihaknya berpandangan Abu Zahar mungkin terkhilaf dari sudut peranannya sebagai Pengerusi LPPR yang tidak berkuasa untuk menentukan sama ada benar atau tidak tuduhan yang dilemparkan terhadap Azam.
“LPPR sepatutnya lebih berperanan sebagai lembaga penasihat agar urus tadbir SPRM teguh mementingkan integriti dan ketelusan. Cadangan kumpulan enam ahli LPPR dilihat lebih relevan apabila mengesyorkan isu tersebut dirujuk kepada jawatankuasa bebas, Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah atau panel aduan SPRM.
“Pemuda UMNO menegaskan bahawa siasatan lanjut lebih wajar dijalankan oleh sebuah badan bebas memandangkan dakwaan tersebut dibuat terhadap Azam yang sepatutnya menjunjung imej, kredibiliti dan tahap integriti tertinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd. Fadzil Zolkipli di Hotel Seri Malaysia di sini hari ini.
Pada 5 Januari lalu, Abu Zahar dalam satu sidang akhbar khas memaklumkan LPPR mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau konflik kepentingan berhubung pemilikan saham membabitkan Azam.
Begitu pun enam lagi Ahli LPPR yang lain iaitu Tan Sri Ismail Omar, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Seri Akhbar Satar, Datuk Dr. Hamzah Kassim, Datuk David Chua Kok Tee dan Prof. Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff menerusi satu kenyataan bersama semalam menegaskan bahawa kenyataan Abu Zahar tersebut adalah pendapat peribadinya sebagai pengerusi lembaga itu.
Syed Johan menambah, beliau sendiri telah membuat laporan polis berhubung isu tersebut semalam bagi memohon agar siasatan dijalankan terhadap Azam.
“Berikutan kerana polemik ini, kredibiliti, integriti dan ketelusan Azam perlu ditentukan semula, sama ada beliau masih cukup layak untuk menyandang jawatan nombor satu dalam SPRM.
“Siasatan terhadap isu ini amat penting memandangkan beberapa pihak dilihat cuba menangguk di air keruh dengan mempolitikkannya terutamanya di pihak pembangkang.
“Pemuda UMNO bagaimanapun beranggapan Azam sewajarnya dilayan secara adil bagi melalui proses perundangan negara yang berprinsipkan ‘tidak bersalah hingga dibuktikan bersalah’ (innocent until proven guilty),” katanya.
Mengulas lanjut, Syed Johan yang juga seorang pengamal undang-undang berkara, Azam sepatutnya mengambil sikap berlapang dada dan berjiwa besar dengan bercuti sementara daripada jawatannya hingga hasil siasatan diperoleh.
“Tindakan sedemikian akan menampakkan beliau lebih ‘gentleman’ dalam berdepan isu ini. Kita risau dan khuatir, jika beliau terus bertugas, kepercayaan rakyat terhadap terhakis dan mungkin akan wujud kelompongan pada siasatan,” katanya.










