Aura Hamidin masih diperlukan di FAM - Syed Yazid - Utusan Malaysia

Aura Hamidin masih diperlukan di FAM – Syed Yazid

SYED Yazid Syed Omar akan terus berdiri teguh di belakang Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan percaya 'orang nombor satu' dalam bola sepak negara itu adalah individu layak dan tepat memimpin FAM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Syed Yazid Syed Omar sentiasa berdiri teguh di belakang Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Beliau yakin dan percaya Hamidin yang merupakan ‘orang nombor satu’ dalam bola sepak negara itu adalah individu layak serta tepat memimpin FAM.

Syed yang juga Naib Presiden 1 Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) berkata, Hamidin tidak boleh meninggalkan badan induk berkenaan yang masih memerlukan kepimpinannya untuk mencorak perubahan kepada bola sepak negara.

“Dulu saya mungkin tidak sehaluan dengan Presiden dan ketika pemilihan Kongres FAM sebelum ini juga, saya bukanlah dari barisan pilihannya tetapi saya berjaya menang untuk berada dalam Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO).

“Terus terang dan jujur dari hati ini, selepas saya bekerja di bawah kepimpinan Datuk Hamidin, beliau seorang yang ketua yang sangat berdedikasi dan melaksanakan tanggungjawabnya selaku Presiden dengan baik sekali.

“Dari pagi sampai ke malam, saya lihat beliau tidak henti-henti bercakap mengenai bagaimana untuk naikkan bola sepak kita, meminta idea dan cadangan untuk dilaksanakan demi kebaikan pasukan dan seterusnya berbincang dalam mesyuarat EXCO.

“Sampai saya difahamkan beliau tidak cukup tidur fikirkan pasal bola sepak negara dan sekarang pula perlu berdepan kritikan demi kritikan.

“Kalau ada peluru, saya sanggup jadi orang pertama yang mempertahankannya kerana saya tahu Datuk Hamidin sudah berikan segala-galanya buat FAM dan pasukan kebangsaan.

“Jadi tidak sepatutnya Datuk Hamidin diasak untuk meletak jawatan, sebaliknya kita perlu beri sokongan dan dorongan untuknya melakukan perubahan agar di kejohanan-kejohanan lain kita bertambah baik,” katanya.

Syed Yazid adalah individu penting dalam kebangkitan bola sepak Kuala Lumpur di mana selain memegang jawatan Naib Presiden 1 KLFA, beliau juga ialah Ahli Lembaga Pengarah Kuala Lumpur City yang muncul juara Piala Malaysia musim lalu.

Beliau juga pernah menguruskan skuad pasukan Piala Presiden dan Piala Emas Raja-Raja Kuala Lumpur selain pernah menjadi pemangku jurulatih Liga Perdana dan pengurus pasukan Sukan Malaysia (SUKMA) Kuala Lumpur serta memiliki Lesen Kejurulatihan C.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya