PUTRAJAYA: Kementerian Pertahanan bakal memiliki sejumlah kenderaan khas yang dipasang alat kawalan jauh improvisasi letupan (RCIED) untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Tender pembekalan kenderaan dilengkapi sistem canggih pengesanan dan pintasan signal bom daripada radio musuh itu dilaporkan akan digunakan Markas Angkatan Bersama (MAB).
Berdasarkan iklan tender terbuka menerusi laman e-perolehan kementerian itu baru-baru ini, sebanyak 10 buah kenderaan RCIED yang lazimnya berbentuk trak pikap pacuan empat roda.
Beberapa portal berita pertahanan antarabangsa melaporkan, kesemua kenderaan tersebut yang diperlukan untuk tugasan khusus itu juga perlulah berwarna hijau zaitun atau hitam kusam.
Kemungkinan besar, kenderaan RCIED itu bakal digunakan MAB yang berkhidmat di bawah pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan selain zon bergolak lain.
Jentera khas itu lazim digunakan sebagai kereta pengiring pemimpin kuasa besar dunia dalam konvoi bagi menjejak dan mematikan isyarat frekuensi musuh untuk letupan bom jarak jauh.
PBB turut menggunakan kenderaan sedemikian di negara tertentu untuk keselamatan petugas dan diplomat badan dunia itu ketika bergerak melalui kawasan yang berisiko diserang hendap.
Kumpulan pengganas kebiasaannya menggunakan taktik pengeboman jarak jauh menerusi gelombang telefon bimbit untuk mengucar-ngacirkan kekuatan pasukan tentera yang mantap.
Ini termasuk puak pemisah bersenjata di selatan Thailand, Filipina dan Indonesia yang mahir mempraktikkan modus operandi sedemikian untuk melemahkan moral anggota keselamatan. Kenderaan RCIED ini dipasang sistem pengganggu frekuensi yang dipancarkan pihak musuh daripada pelbagai jenis peranti termasuk dron, robot, periuk api atau telefon selular murah.
Permintaan terhadap jentera khas ini amat tinggi di seluruh dunia ekoran ancaman pengganas tidak dijangka dengan banyak negara maju dan membangun membina model yang tersendiri. Amerika Syarikat antara pengeluar utama kenderaan RCIED manakala lima firma gergasi global iaitu Lockheed Martin, L3Harris, Elbit Systems, Northrop Grumman dan Thales Group.