KUALA LUMPUR: Prestasi seseorang Perdana Menteri tidak hanya bersifat individualistik sebaliknya bergantung kepada kecemerlangan jentera utama kerajaan iaitu penjawat awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan dikecapi Malaysia sejak kebelakangan ini termasuklah penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 baru-baru ini antara lainnya disumbangkan oleh kekuatan dan kecekapan penjawat awam.
Beliau turut menyifatkan penjawat awam merupakan tonggak penting dalam pencapaian dilakar negara.
“Orang melihat tentunya prestasi Perdana Menteri.. tetapi orang lupa bahawa prestasi (Perdana Menteri) itu baik atau lemah, banyak bergantung kepada (pelbagai) kekuatan, termasuk terutamanya kekuatan penjawat awam.
“Ramai menyatakan rasa terharu dan kagum atas kejayaan negara termasuk penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN, (gabungan kerjasama) ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) baru-baru ini, selain kunjungan kita ke luar negara.
“Kejayaan ini memperlihatkan Malaysia sebagai negara berpotensi dalam bidang pelaburan, teknologi baharu, kecerdasan buatan (AI) dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Konvensyen TriTahunan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) ke-30 di Pusat Dagangan Kuala Lumpur (PWTCKL), di sini.
Perdana Menteri berkata, kejayaan dilakar negara juga sebenarnya adalah hasil kerjasama berpasukan semua pihak tanpa mengira hieraki.
“Kejayaan itu sebenarnya terhasil daripada kerja berpasukan. Ia membabitkan penjawat awam di semua peringkat.. daripada membersihkan tempat, yang menyediakan kelengkapan, di barisan hadapan, sehinggalah ke penjawat awam peringkat tinggi dan barisan Jemaah Menteri,” katanya.
Pada masa sama, beliau juga meminta setiap penjawat awam terus mengekalkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan sekali gus meningkatkan martabat negara ke tahap lebih tinggi.
Sempena majlis makan malam itu, Perdana Menteri turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM500,000 bagi pelaksanaan konvensyen berkenaan pada masa depan. – UTUSAN










