APMM rampas daun ketum RM900,000, rampasan terbesar

APMM rampas daun ketum RM900,000

MOHD.  Zawawi Abdullah (tengah) menunjukkan sebahagian daun ketum yang dirampas di Kuala Kedah, Alor Setar, Kedah, hari ini. - FOTO/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Maritim Malaysia (APMM) berjaya menggagalkan cubaan satu sindiket penyeludupan daun ketum berskala besar apabila merampas lima tan daun tumbuhan itu yang dianggarkan bernilai RM900,000 di perairan Kuala Kedah, semalam.

Rampasan itu merupakan yang terbesar pernah dicatatkan APMM setakat ini dengan jumlah tersebut hampir menyamai jumlah rampasan sepanjang tahun lalu sebanyak 5.97 tan.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah memberitahu, sindiket penyeludupan dilihat mengubah taktik dengan menyeludup daun ketum dalam jumlah yang besar.

“Penyeludup juga didapati menggunakan bot dengan enjin berkuasa tinggi iaitu dua enjin dengan setiap satu berkuasa 115 kuasa kuda berbanding bot lebih kecil dengan satu enjin berkuasa antara 70 hingga 90 kuasa kuda sebelum ini.

“Penggunaan bot tersebut membolehkan penyeludup bergerak lebih pantas ke sempadan negara iaitu dalam masa kurang sejam,” katanya kepada pemberita di Kuala Kedah di sini hari ini.

Beliau menambah, dalam tangkapan terbaharu tersebut, bot ronda Perkasa 1226 telah diatur gerak ke lokasi tangkapan susulan maklumat risikan mengenai satu perancangan aktiviti menyeludup daun ketum oleh sindiket dalam skala besar.

“Penguat kuasa kita kemudian berjaya mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran sedang bergerak keluar menuju muara Kuala Kedah dalam keadaan gelap. Suspek terus memecut bot ke arah kawasan daratan berhampiran, namun berjaya dipintas pada kedudukan 2.0 batu nautika timur muara Kuala Kedah pada pukul 1.40 pagi semalam,” ujarnya.

Menurut Mohd. Zawawi, pemeriksaan ke atas bot itu menemui dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an bersama 200 bungkusan plastik berisi daun ketum seberat dua tan.

“Hasil siasatan lanjut ke atas suspek, kita menemui tiga tan lagi daun ketum di satu lokasi pemunggahan di kedudukan 4.0 batu nautika timur Muara Kuala Kedah,” jelasnya.

Katanya, suspek dipercayai menerima upah sebanyak RM700 bagi setiap penghantaran daun ketum ke sempadan perairan negara.

Dalam pada itu, ujarnya, pihaknya juga mendapati sindiket kali ini meletakkan dua botol air mineral bersaiz kecil ke dalam setiap bungkusan berisi daun ketum dipercayai untuk mengurangkan wap air yang terperangkap di dalam plastik tersebut.

Tambahnya, pihaknya percaya penyeludupan daun ketum dalam skala besar itu juga berikutan permintaan daun tumbuhan itu yang semakin meningkat dari penggunanya di Thailand.

“Penyeludupan juga terus berlaku disebabkan harga pasaran daun ketum di negara jiran mencecah RM180 sekilogram berbanding hanya RM40 di pasaran negara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN