APHM sambut baik kawalan harga 2 vaksin Covid-19 - Utusan Malaysia

APHM sambut baik kawalan harga 2 vaksin Covid-19

KULJIT SINGH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keputusan kerajaan yang bertindak pantas melaksanakan pengawalan harga dua vaksin bagi Covid-19 disambut baik oleh Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM).

Presidennya, Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, langkah itu juga amat tepat pada masanya demi meringankan beban rakyat di negara ini khususnya golongan rentan dan berpendapatan B40.

“Kami akan terus menyokong langkah kerajaan mempromosikan kesaksamaan vaksin yang berupaya memulihkan semula ekonomi negara kita,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kenyataan bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi semalam.

Mereka berdua mengumumkan pelaksanaan harga siling vaksin Sinovac dan Sinopharm yang berkuat kuasa esok untuk ditawarkan oleh semua fasiliti kesihatan swasta di seluruh negara.

Langkah itu bakal menyaksikan kos maksimum borong bagi Sinovac ialah RM62 dan harga runcit pula RM77, manakala Sinopharm ditetapkan kos borong RM48 dan harga runcit RM77.

Penyelarasan harga siling itu berdasarkan harga import terkini di pasaran dengan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan akan melakukan pemantauan lebih tegas.

Individu yang dikesan ingkar boleh didakwa di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dengan berdepan hukuman denda sehingga RM500,000 atau kompaun RM250,000.

Mengulas lanjut, Kuljit bagaimanapun memohon kerajaan dapat mempertimbangkan kepada mereka yang sudah membeli bekalan secara pukal sebelum ini dengan kos lama yang lebih tinggi berbanding sekarang.

“Kami berharap kerajaan juga mengambil kira beban implikasi kewangan yang ditanggung oleh pihak terbabit kerana banyak bekalan vaksin itu masih belum lagi habis dijual,” jelas beliau.

Pemain industri itu ujarnya, berharap agar dasar kos siling yang diwartakan kerajaan ini hanya bersifat sementara dalam usaha intervensi pengawalan harga produk perubatan di pasaran.

APHM melahirkan keyakinan harga vaksin akan kembali stabil serta tidak begitu mahal dalam masa terdekat terutama mereka yang berkemampuan lebih untuk suntikan dos penggalak.

Kebanyakan hospital swasta di negara ini kata Kuljit, turut membantu pihak kerajaan dengan menganjurkan kempen vaksinasi termasuk pelalian penggalak bagi kemudahan masyarakat. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN