KUALA SELANGOR: Masalah penyalahgunaan dadah dipercayai motif awal kes seorang wanita maut dipenggal anak lelakinya di rumah mereka di Kampung Baru Pasir Penambang di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, siasatan pihaknya mendapati suspek berusia 28 tahun disyaki terlibat dengan dadah sejak empat tahun lalu.
“Masalah penyalahgunaan dadah oleh suspek dipercayai bukan dalam jangka masa pendek kerana sanggup mencederakan orang.
“Dia (suspek) turut tergamak mencederakan ibunya sendiri yang berusia 56 tahun dan kita percaya dia terlibat dengan masalah itu (dadah) antara tiga hingga empat tahun,” katanya ketika meninjau lokasi kejadian petang tadi.
Jelas beliau, selain positif dadah, semakan pihaknya mendapati suspek memiliki satu rekod lampau berkaitan kes ugutan pada 2014.
“Kes mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan itu melibatkan ugutan ke atas ibunya sendiri, namun, suspek yang juga anak ketiga daripada tujuh beradik sudah menjalani hukuman atas kesalahan itu,” jelasnya.
Tambah Ramli, pihaknya dalam proses merekodkan keterangan ahli keluarga termasuk suami mangsa bagi membantu siasatan.
“Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan polis masih menjalankan siasatan menyeluruh kes itu mengikut Seksyen 302 Keseksaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kejadian disedari kakak kepada suspek berusia lingkungan 30-an yang menemukan mangsa di rumah tersebut.
“Pada waktu itu, suspek turut melarikan diri dan kita berjaya menahannya di kawasan semak kira-kira 50 meter di belakang kediaman berkenaan.
“Namun, kita tidak menemukan sebarang alat atau bahan berkaitan dadah di dua lokasi tersebut,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan mengenai seorang wanita dicederakan pada pukul 5.45 petang.
Hasil siasatan mendapati mangsa berada di ruang tamu rumah dengan kesan darah dan kepalanya turut dipenggal.