Ahli Parlimen PKR pertahan kelayakan akademik PM - Utusan Malaysia

Ahli Parlimen PKR pertahan kelayakan akademik PM

HASSAN KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen PKR, Hassan Karim mempertahan isu kelayakan akademik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila menyifatkan Perdana Menteri memperoleh biasiswa melanjutkan pengajian undang-undang ke Universiti Malaysia (UM) kerana bapanya orang kuat UMNO Pahang sebagai satu fitnah.

Menurut wakil rakyat Pasir Gudang itu, Ismail Sabri dapat memasuki ke Fakulti Undang-Undang UM disebabkan meritnya kerana keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang baik dan bukannya kerana dasar kroni. 

“Adalah satu tuduhan jahat Andrew Peris yang menuduh kemasukan ke UM  berdasarkan kroni atau pintu belakang kerana si ayah orang kuat Umno. Saya bekas pelajar UM boleh menyatakan sepanjang yang saya tahu pengambilan pelajar undang-undang di UM adalah terhad.

 “Bermula 50 pelajar pada tahun 1972 kemudian ketika zaman Ismail Sabri jumlah pelajar Fakulti Undang-Undang adalah sekitar 100 orang. Andrew Peris perlu sedar bahawa UM adalah universiti ulung di Malaysia. UM ada nama di Malaysia dan di dunia, kita tidak boleh masuk belajar di UM jika kita tidak layak, apatah lagi ke Fakulti Undang-Undang,” jelas beliau dalam Facebook hari ini.

Terdahulu, tular mesej pemilik akaun facebook menggunakan nama Andrew Peris yang mendakwa bahawa keputusan SRP Ismail Sabri adalah lemah menyebabkan beliau memasuki sekolah vokasional di tingkatan empat.

Seterusnya, Andrew Peris mendakwa bahawa Ismail Sabri gagal Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM) dan pergi ke sekolah swasta untuk mengambil semula peperiksaan.

Menurut Hassan lagi, beliau mengakui memang benar Ismail Sabri pernah menerima biasiswa RM25 sebulan semasa di sekolah menengah, sebaliknya kerana beliau merupakan pelajar yang pandai dan sebab kedua adalah daripada keluarga susah iaitu penoreh getah. 

“Ayah dia bukan orang kuat Umno Pahang,” jelasnya.

Menceritakan lebih lanjut, Hassan menambah Ismail Sabri Yaakob mendapat pinjaman Mara ketika belajar di UM dan akhirnya lulus dengan cemerlang sebagai pelajar Undang-Undang dan kemudian ditauliahkan menjadi seorang peguambela dan peguamcara. 

“Saya pernah pergi ke pejabat guaman Ismail Sabri di Kuala Lumpur dan berasa bangga seorang kawan saya, sahabat serumah dengan saya dan bekas murid saya telah berjaya menjadi seorang peguam. Dengan tulisan ini saya harap saya telah dapat membetulkan fakta salah yang ditulis oleh  Andrew Peris,” jelasnya.

Hassan memberitahu, walaupun berbeza pandangan politik namun mereka tidak bermusuhan kerana amat mengenali Perdana Menteri termasuk bapanya atau dipanggil sebagai Pak Cik Yaakob sejak zaman belia.

“Saya perlu menjelaskan siapa saya dalam hal ini dan kenapa campur tangan soal seperti ini. Saya seorang ahli politik pembangkang di Parlimen dan Ismail Sabri adalah Perdana Menteri. Daripada segi politik kami adalah bertentangan pihak. Kami bukan bermusuhan tetapi kami bersaing hebat.

“Kalau Andrew Peris hendak mengkritik Ismail Sabri Yaakob kerana kegagalan pentadbirannya atau kelemahan beliau sebagai seorang Perdana Menteri. Itu adalah wajar dan hak Andrew Peris berbuat demikian di bawah undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 10 hak rakyat bersuara.

“Kalau saya ambil sikap tidak peduli tentang perbuatan buruk itu terhadap Ismail Sabri, maka saya rasa saya telah melakukan satu “omission” atau satu kegagalan kerana membiarkan fakta palsu yang memburuk-burukkan latarbelakang pencapaian akademik Perdana Menteri kita sekarang,” katanya. – UTUSAN ONLIN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN