ADUN Sedili nafi terlibat gangguan seksual - Utusan Malaysia

ADUN Sedili nafi terlibat gangguan seksual

POLIS masih menyiasat kes melibatkan Rasman Ithnain.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain menafikan beliau melakukan gangguan seksual terhadap seorang ahli jawatan kuasa Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Rasman dalam satu kenyataan menafikan sekeras-kerasnya tuduhan wanita terbabit yang membuat laporan polis mendakwa diganggu secara seksual, semalam.

Katanya, tuduhan itu bukan sahaja satu konspirasi politik malah fitnah serta cubaan untuk menjatuhkan maruah serta mencalarkan reputasi beliau selaku wakil rakyat.

“Pada pukul 2 petang semalam, saya dimaklumkan bahawa terdapat satu laporan polis dibuat terhadap saya oleh seorang individu yang juga ahli jawatan kuasa Srikandi Bersatu Bahagian Kota Tinggi. Saya dengan ini menafikan dengan sekeras-kerasnya tuduhan dalam laporan itu. Ini adalah satu konspirasi politik, fitnah dan satu cubaan untuk menjatuhkan maruah serta mencalarkan reputasi saya selaku seorang wakil rakyat.

“Saya juga bersedia untuk memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan berjalan demi memastikan keadilan dapat ditegakkan. Saya juga berbincang dengan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap mana-mana individu yang cuba mencemarkan nama serta imej saya seperti ini,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.

Rasman turut menegaskan konspirasi politik seperti itu tidak akan sekali-kali melemahkan semangat beliau untuk terus berjuang dan menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya melalui mandat rakyat.

“Semoga kebenaran akan dirungkai akhirnya serta perjuangan saya ini dimudahkan dan diredai oleh Allah SWT,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora mengesahkan polis menerima laporan dakwaan salah laku ADUN terbabit terhadap wanita berumur 26 tahun di Balai Polis Kota Tinggi, kira-kira 11.30 pagi.

Menerusi laporan polis yang tular itu, mangsa mendakwa telah diganggu secara seksual ketika hadir ke program dihadiri ADUN berkenaan.

Wanita itu mendakwa kejadian pertama berlaku pada 2 Januari lalu namun bertindak mendiamkan diri kerana takut berlaku perkara yang tidak diingini.

Kejadian kedua dan ketiga pula didakwa sehari kemudian dan 12 Januari, namun mangsa mendakwa tidak berani untuk menceritakan perkara itu kerana memikirkan status selain bimbang dinafikan perkara itu.

Dalam laporan sama, mangsa mendakwa kejadian terakhir berlaku pada 13 Januari lalu sebelum dia nekad membuat laporan polis selepas diraba di bahagian sulit. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN