PUTRAJAYA: Seramai 851 Wira Agro di seluruh Selangor menanggung kerugian dianggarkan berjumlah RM11.88 juta akibat banjir meliputi hampir 5,550 Wira Agro yang dikesan terjejas di beberapa negeri seluruh negara.
Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh, ia melibatkan anggaran kerugian yang berjumlah RM67.72 juta daripada kesemua subsektor agromakanan.
Beliau berkata, kementerian itu melalui pelbagai agensi masih melaksanakan penilaian kerugian sebenar dialami golongan sasar dan kerugian itu dijangka terus meningkat, namun peruntukan pelbagai bantuan diharap memberi nafas baharu kepada Wira Agro yang terjejas.
“Inisiatif tersebut meliputi Dana Bangkit Semula Keluarga Agro berjumlah RM100 juta dan Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan yang bernilai RM80 juta,” katanya selepas menyantuni Wira Agro sekitar Hulu Langat, dekat sini hari ini dan meninjau keadaan pengusaha projek tanaman cili fertigasi di Sungai Lui dan usahawan projek industri asas di Dusun Tua di bawah pihak Jabatan Pertanian Selangor.
Wira Agro di daerah tersebut antara yang terjejas teruk ekoran banjir dan telah dibantu melalui siri aktiviti pembersihan dilaksanakan oleh skuad cakna jabatan berkenaan baru-baru ini selain menerima sumbangan khas bakul makanan menerusi inisiatif MAFI Prihatin dan pelbagai input pertanian sebagai meringankan beban kewangan mereka.
Justeru, beliau berharap Wira Agro yang terjejas ekoran isu banjir di beberapa negeri yang terlibat dapat pulih dan memastikan kelangsungan keselamatan makanan negara terjamin.










