DUNGUN: Dua penternak di Kampung Paya Hutan, Paka di sini kerugian kira-kira RM30,000 selepas tujuh ekor lembu milik mereka hilang, dipercayai dicuri.
Romi Daud, 48, berkata, kehilangan lima ternakannya itu disedari pagi kelmarin ketika ke kandangnya yang terletak berhampiran rumah untuk memberi lembu makan.
“Saya ke kandang selepas solat subuh dan terkejut mendapati lembu hanya tinggal tiga ekor. Seekor lembu jantan di samping empat lembu betina yang berusia dalam lingkungan tiga tahun hilang dan saya percaya ia dicuri kerana saya sudah mencari di merata kawasan,” katanya.
Nasib itu turut menimpa Mohd. Nasarul Naim Mohd. Nasir, 41, apabila dua lembu miliknya yang ditambat pada tiang di kawasan rumah hilang pada masa sama, semalam.
Katanya, kehilangan ternakannya disedari selepas jiran memaklumkan tidak melihat lembunya diikat di tempat biasa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah mengesahkan menerima laporan berkenaan dan pihaknya giat mengesan suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai diingatkan supaya tidak membeli sebarang lembu yang ditawarkan pada harga murah berbanding nilai pasaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE