PETALING JAYA: Sebanyak 475 sukarelawan Skuad Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) digerakkan di seluruh negara bagi melancarkan misi bantuan pasca banjir melibatkan beberapa kawasan di Lembah Klang, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kelantan.
AADK dalam satu kenyataan memberitahu, inisiatif tersebut merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) AADK dalam usaha membantu dan meringankan beban dihadapi mangsa banjir susulan hujan lebat berterusan dalam tempoh 24 jam sejak 17 Disember 2021.
Kata kenyataan itu, pada peringkat awal misi kemanusiaan bantuan pasca banjir oleh Skuad Antidadah AADK dilaksanakan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor terutamanya di kawasan Klang, Shah Alam dan Hulu Langat.
“Namun begitu, berikutan bencana banjir telah melanda di beberapa buah negeri dan atas dasar keprihatinan dan kemanusiaan, Skuad Antidadah AADK segera diperluas dan digerakkan bagi kerja-kerja sukarelawan pasca banjir.
“Bagi Seberang Prai Tengah, Pulau Pinang, meskipun tidak dilanda banjir namun, khidmat masyarakat tetap diteruskan yang mana Skuad Antidadah daerah berkenaan digerakkan ke negeri-negeri terjejas banjir seperti Bentong, Pahang dan Taman Sri Muda,Shah Alam, Selangor,” jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, Skuad Antidadah AADK Kedah juga mengambil inisiatif turun padang melaksanakan misi bantuan pasca banjir di Temerloh, Pahang yang turut disertai Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Ismail Mohamed Said.
Jelas kenyataan itu, selain operasi pembersihan di sekitar kawasan dan kediaman penduduk terjejas pasukan sukarelawan turut mengagihkan bantuan barangan kepada kira-kira 300 keluarga.
“Ini termasuklah, sumbangan wang tunai kepada anak-anak yatim, mualaf dan guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA),” jelasnya.
Dalam pada itu, AADK juga proaktif menambah jumlah keanggotaan sukarelawan, kekuatan Skuad Antidadah khususnya melibatkan aspek kesiapsiagaan, skop tugasan yang sistematik dan penyediaan keperluan mengikut situasi semasa di lokasi yang terkesan dengan bencana alam tersebut.
“Sehubungan itu, pihak AADK amat mengalu-alukan orang ramai menyertai Skuad Antidadah bagi memperkasakan peranan masyarakat untuk saling membantu menyampaikan kempen antidadah selain menyumbang bakti dalam aktiviti kemasyarakatan.
“Diharapkan menerusi usaha kecil seumpama ini, Skuad Antidadah terus proaktif menggembleng tenaga menjalankan operasi pembersihan rumah penduduk yang terjejas akibat banjir, sekali gus menyantuni mereka menerusi agihan bantuan makanan, barangan asas dan memberi sokongan moral.
“Justeru, orang ramai yang ingin menyertai sukarelawan Skuad Antidadah kini boleh mendaftar secara dalam talian dengan mengimbas kod QR atau klik pautan borang, https://forms.gle/Ca8N75os6HSGXZxP9 yang tertera di semua platform media sosial AADK,” kata kenyataan itu. – UTUSAN










