JOHOR BAHRU: Bencana banjir di negeri ini yang memasuki hari ketujuh terus menunjukkan penurunan mangsa banjir apabila 4,449 orang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pagi ini, berbanding 4,942 petang semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, ia melibatkan 1,195 keluarga yang ditempatkan di 66 PPS di enam buah daerah iaitu Segamat, Mersing, Tangkak, Muar, Kluang dan Batu Pahat.
Bagaimanapun, berbanding tengah malam tadi yang merekodkan 4,202 mangsa, jumlah itu menunjukkan sedikit peningkatan disebabkan pertambahan mangsa di Tangkak iaitu dari 716 kepada 801 mangsa setakat ini.
“Pertambahan mangsa di PPS juga berlaku di Muar apabila jumlah 333 mangsa yang dicatatkan tengah malam tadi melonjak kepada 495 mangsa,” katanya.
Vidyananthan berkata, sehingga kini tiada PPS yang baharu dibuka atau ditutup di kesemua daerah yang terjejas banjir dan Segamat masih mengekalkan jumlah yang tinggi iaitu seramai 2,508 mangsa daripada 685 keluarga ditempatkan di 36 PPS.
“Tiga daerah lain yang turut mengekalkan angka sama adalah Mersing dengan 464 mangsa daripada 123 keluarga di enam PPS, Batu Pahat dengan 53 mangsa daripada 17 keluarga di sebuah PPS dan Kluang iaitu 128 mangsa daripada 38 keluarga di sebuah PPS,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan data Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah menunjukkan keadaan cuaca cerah di kesemua 10 daerah di Johor, setakat pagi ini.
Katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Johor melaporkan terdapat 10 jalan di daerah terkesan ditutup untuk semua kenderaan, satu daripadanya adalah Jalan Muar-Labis di Muar.
“Sembilan jalan yang ditutup ialah Jalan Kuala Paya Balai Badang, Jalan Putting, Jalan Tumang, Jalan Serakek, Jalan Tungku Tiga, Jalan Pogoh, Jalan Balai Polis Buloh Kasap, Jalan Senai-Gemas dan Jalan Felda Medoi,” katanya.