380 termasuk 2 anggota polis ditahan kesalahan berkaitan dadah - Utusan Malaysia

380 termasuk 2 anggota polis ditahan kesalahan berkaitan dadah

SEBAHAGIAN dadah yang dirampas daripada dua lelaki yang ditahan polis Pulau Pinang dalam serbuan di Jalan Masjid Negeri Jumaat lalu. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seramai 380 orang termasuk dua anggota polis ditahan sejak 1 hingga 9 Januari lalu kerana kesalahan berkaitan dadah antaranya menjadi pembekal, memiliki dan positif dadah.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dua anggota polis yang ditahan kerana positif dadah itu membabitkan anggota polis berpangkat Konstabel dan Lans Koperal.

Katanya, ujian air kencing tersebut dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard(JIPS) Bukit Aman.

“Ujian air kencing melibatkan pegawai dan anggota polis memang dijalankan secara berkala dan mengejut bagi memastikan pasukan polis bebas dadah.

“Konstabel yang positif methamphetamine itu sedang dalam proses tahan kerja semasa ujian air kencing dijalankan ke atasnya manakala Lans Koperal pula sedang bertugas,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Shuhaily berkata, polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan dua lelaki dan merampas 9,828 gram (g) ganja bernilai RM24,570 dalam serbuan di tepi jalan di Jalan Masjid Negeri, di sini Jumaat lalu.

Katanya, dua suspek lelaki berusia 51 tahun itu ditahan pukul 7.45 malam ketika berada di dalam sebuah kereta dipercayai dalam perjalanan menghantar bekalan dadah kepada pembeli.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemukan 10 ketulan mampat ganja seberat 9,828g bernilai RM24,570 dalam kenderaan dinaiki mereka.

“Siasatan mendapati mereka mendapatkan bekalan dadah daripada sindiket dan menjualnya semula untuk pasaran tempatan sejak tahun lalu,” katanya.

Tambah beliau, polis turut menyita sebuah kereta bernilai RM30,000 dan wang tunai sebanyak RM35,140 serta ujian air kencing mendapati seorang daripada mereka positif dadah.

“Kedua mereka yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan pengusaha kedai makan direman selama enam hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN