309 kes tipu e-dagang di Kelantan tahun lalu - Utusan Malaysia

309 kes tipu e-dagang di Kelantan tahun lalu

SHAFIEN MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kes penipuan membabitkan platform e-dagang dan peluang kerja sambilan yang ditawarkan secara dalam talian mencatat peningkatan mendadak di negeri ini sejak dua tahun lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata, sebanyak 309 kes penipuan e-dagang dicatatkan tahun lalu berbanding 229 pada 2020, iaitu peningkatan 80 kes atau 34.3 peratus.

“Kerugian membabitkan penipuan e-dagang sepanjang tahun lalu mencecah RM1.4 juta, berbanding RM803,640 sepanjang tahun sebelumnya.

“Penipuan tawaran kerja sambilan dalam talian merekodkan 79 kes tahun lalu dengan kerugian RM643,157 manakala bulan ini sahaja, sudah 11 kes dilaporkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, hari ini.

Dalam majlis tersebut, beliau menyampaikan surat penghargaan kepada 33 penerima merangkumi Ketua Polis Daerah, pegawai dan anggota PDRM yang menunjukkan prestasi cemerlang.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, jenayah komersial tersebut menggunakan modus operandi memerangkap mangsa dengan menawarkan kerja namun perlu membuat bayaran terlebih dahulu.

Dalam perkembangan lain, Shafien berkata, sepanjang tahun lalu, seramai 63 pegawai dan anggota polis dikenakan tindakan tatatertib termasuk sembilan dibuang kerja. -UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN