KUALA LANGAT: Risikan dan penantian Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat selama dua hari dekat sebuah kebun kelapa sawit berbaloi apabila seramai 29 lelaki penagih dadah ditangkap dalam satu serbuan semalam di kawasan berkenaan di Jalan Klang – Banting berhampiran Sri Cheeding, Jenjarom di sini.
Mereka yang ditangkap terdiri daripada empat orang berusia dalam lingkungan 50-an, 16 (40-49 tahun), tujuh (30-39) dan dua (20-29).
Tangkapan tersebut termasuk seorang lelaki warga Bangladesh berusia 28 tahun dalam Operasi (Ops) Sarang antara pukul 6 pagi hingga 6 petang.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh, serbuan itu turut merampas dua jenis dadah seberat 25.4 gram (gm) iaitu heroin (24.8 gm) dan syabu (0.6 gm) bernilai RM500.
“Dalam serbuan tersebut, polis juga merampas wang tunai sebanyak RM350 yang didapati merupakan wang hasil dari jualan dadah di lokasi berkenaan.
“Turut ditangkap adalah seorang ‘tokan’ berusia 30-an yang dipercayai beroperasi di sana sejak seminggu. Hasil ujian air kencing ke atas kesemua tangkapan juga positif dadah jenis opiate (candu),” katanya dalam sidang akhbar di IPD Kuala Langat, hari ini.
Jelas beliau kesemua suspek direman selama empat dan tujuh hari bagi membantu siasatan.
Ahmad Ridhwan menambah kesemua suspek ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Katanya, tokan berjaya ditahan itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.
Selain itu tujuh suspek lagi disiasat di bawah Seksyen 12(2) akta sama yang mana sabit kesalahan masing-masing boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM100,000 atau kedua-duanya sekali.
Selebihnya lagi disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, Ahmad Ridhwan menjelaskan, tujuan Ops Sarang dijalankan untuk mengesan serta menangkap pengedar dan penagih dadah, di samping menurunkan kadar indeks jenayah.
“Operasi ini juga dapat mempertingkatkan kadar pertuduhan di bawah Seksyen 39C ADB ke atas penagih-penagih dadah yang berulang.
“Ops Sarang itu juga dapat mengenalpasti sasaran untuk tindakan di bawah ADB (Langkah – Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan akan diteruskan bagi mengekang kegiatan aktiviti di daerah ini,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE