PTP catat 14 peratus pertumbuhan kendali TEU - Utusan Malaysia

PTP catat 14 peratus pertumbuhan kendali TEU

WEE Ka Siong (kanan) bersama Hasni Mohammad menarik tirai bagi menandakan pencapaian lebih 11 juta TEU di PTP, Iskandar Puteri di Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kedudukan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Sdn. Bhd. sebagai antara 20 pelabuhan tersibuk dunia terus kukuh dengan rekod kendalian lebih 11 juta TEU (unit bersamaan 20 kaki) tahun lalu.

Rekod kendalian itu telah dicatatkan sehingga pukul 10 pagi, 25 Disember tahun lalu yang menyaksikan kadar pertumbuhan turut meningkat lebih empat peratus berbanding 2020.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, PTP mencatatkan jumlah kendalian sebanyak 11.2 juta TEU pada akhir tahun lalu dengan nilai pertumbuhan 14 peratus berbanding 9.8 juta TEU pada 2020.

Katanya, pencapaian itu amat membanggakan ketika pelabuhan-pelabuhan lain di seluruh dunia masih berada dalam situasi yang kurang stabil akibat daripada pelbagai isu seperti kesan operasi perniagaan akibat pandemik Covid-19 yang berterusan.

“Malah, kos pengangkutan juga meningkat, kesesakan pelabuhan, kekurangan bekalan peralatan dan tenaga kerja, namun PTP telah menunjukkan tahap pencapaian yang tinggi dalam mengharungi cabaran ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Meraikan Pencapaian 11 Juta TEU di PTP bersama-sama Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Marco Neelsen.

Pada November lalu, PTP juga berjaya merekodkan beberapa pencapaian lain termasuk memecahkan rekod kendalian sebanyak 10 juta TEU.

Malah, fasiliti itu menjadi pelabuhan pertama di Asia Tenggara yang menerima kapal kontena terbesar dunia, Evergreen Ever Ace dan kapal kontena berkuasa gas asli cecair (LNG) pertama dan terbesar di dunia; CMA CGM Jacques Saade.

Ka Siong berkata, pertumbuhan PTP yang luar biasa selama ini jelas menunjukkan nilai tambah sektor maritim kepada kesejahteraan ekonomi Malaysia serta kepentingan ekonomi perdagangan kepada negara.

“Memandangkan pelabuhan merupakan penyumbang penting kepada perdagangan antarabangsa Malaysia secara tidak langsung sektor ini amatlah penting kepada kemakmuran ekonomi yang bergantung kepada aspek perdagangan secara amnya.

“Kerajaan Malaysia akan terus menyokong setiap inisiatif pembangunan industri untuk meningkatkan kapasiti terminal pelabuhan, membantu membangunkan sumber manusia, memastikan keselamatan kapal dan navigasi dan terus memberikan perkhidmatan yang cekap,” katanya.

Sementara itu, Hasni berkata, PTP mempunyai rekod prestasi yang cemerlang bukan sahaja dalam industri maritim dan logistik tempatan tetapi juga kejayaan dalam membangunkan masyarakat sekitar khususnya di Gelang Patah.

“PTP bukan sahaja dilengkapi dengan kemudahan terminal moden dan terkini, ia juga memberi peluang besar kepada masyarakat setempat dari segi peluang pekerjaan dan pelbagai rangsangan pembangunan ekonomi dan sosial yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Marco berkata, susulan pencapaian memberangsangkan PTP itu, pelabuhan itu akan melabur RM750 juta lagi bagi mengembangkan kapasitinya, tahun ini.

“Antara pelan yang sudang dirancang adalah perluasan kawasan Zon bebas cukai PTP di Tanjung Adang yang dijangka siap dibina pada awal 2023,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya