JOHOR BAHRU: Dianggarkan 240 atlet terpaksa melupakan hasrat mewakili Kontinjen Johor pada penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Kuala Lumpur yang dijangka diadakan tahun ini.
Pegawai Belia Dan Sukan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Mohammad Syafiq Hassan berkata, kesemua atlet tersebut terpaksa menarik diri disebabkan faktor usia, melanjutkan pelajaran, kerjaya dan masa depan masing-masing.
Katanya, MSNJ tidak mempunyai pilihan selain mendapatkan khidmat atlet di peringkat pembangunan bagi memikul tanggungjawab itu.
“Kita sudah mempersiap kira-kira 600 atlet untuk bertanding di Sukma Johor yang sepatutnya dianjurkan di negeri ini pada dua tahun lalu. Namun setelah ia ditunda beberapa kali dan digantikan dengan Sukma di 2020 di Wilayah Persekutuan pada tahun ini, kira-kira 40 peratus (240 atlet) daripada jumlah itu terpaksa menarik diri atas pelbagai alasan.
“Saya percaya perkara sama turut berlaku kepada kontinjen negeri lain dan kita tidak dapat menghalang keputusan yang diambil. Kita masih positif dalam keadaan sekarang dan akan menggunakan khidmat atlet pembangunan bagi mengisi tempat mereka,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman Majlis Kriket Johor dan Universiti Tunku Abdul Rahman di Johor Cricket Academy & Oval, di sini semalam.
Oktober lalu, mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memutuskan penganjuran Sukma Johor ditangguhkan ke tahun 2024. – UTUSAN ONLINE