KUANTAN: Seramai 18 penumpang bas ekspres dan seorang pemandunya nyaris maut, apabila kenderaan tersebut merempuh sebuah lori dalam kemalangan di kilometer 132.6 Lebuh Raya Pantai Timur hala ke Kuala Lumpur, petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut kira-kira 4.26 petang.
Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh telah dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kemalangan tersebut melibatkan sebuah bas ekspres yang membawa penumpang seramai 18 orang yang telah melanggar belakang sebuah lori.
“Dalam operasi tersebut anggota penyelamat dapat mengeluarkan mangsa dengan segera apabila mendapati penumpang dan pemandu tidak tersepit.
“Semua mangsa diserahkan kepada Kementerian Kesihatan, anggota Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) untuk diberi rawatan awal manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital berdekatan dengan bantuan tambahan ambulan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Ismail berkata operasi menyelamat melibatkan kekuatan anggota JBPM seramai tujuh orang bersama seorang pegawai penyelia.
“Operasi tersebut juga menggunakan kekuatan logistik sebuah jentera FRT dan EMRS,” katanya.