BAU: Hujan lebat dan tiupan ribut menyebabkan 11 buah rumah di Kampung Opar di sini mengalami kerosakan dalam kejadian malam tadi.
Menurut jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Bau, seramai lima daripada rumah terbabit tercabut keseluruhan atapnya, manakala enam lagi tercabut separuh atap dalam kejadian pada pukul 8.10 malam itu.
“Justeru, kesemua penghuni rumah yang terjejas telah diarahkan untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Balai Raya Kampung Opar”, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Bagaimanapun, maklumat berkenaan jumlah pemindahan mangsa akan disalurkan setelah maklumat telah selesai dikumpul oleh semua pihak.
Pihak bomba turut bertindak membuang dan memindahkan serpihan kerosakan bangunan di laluan utama.
Sejak Isnin, hujan lebat di beberapa daerah di Sarawak menyebabkan beberapa kawasan dinaiki banjir kilat.
Oleh itu, Jabatan Penyelamat dan Bomba Malaysia (JPBM) Sarawak turut menasihatkan orang ramai terutamanya nelayan untuk berwaspada dan sentiasa peka terhadap amaran cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).