GUA MUSANG: Lebih 30 keluarga Orang Asli di Kampung Sau, Pos Bihai di sini hidup dalam ketakutan selepas salah seorang penduduk di situ maut dibaham harimau belang semalam.
Walaupun harimau tersebut ditembak mati semalam, penduduk masih ketakutan kerana percaya terdapat sekurang-kurangnya 11 ekor lagi haiwan itu masih berkeliaran, sekali gus mengancam nyawa mereka.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Penghulu Kampung Sau, Alak Asu berkata, sejak 10 Disember lalu, penduduk pernah beberapa kali terserempak dengan tiga harimau merayau di Kampung Remau, Kampung Bayor dan Kampung Bujok.
Katanya, tragedi menimpa mangsa, Anek Along, 59, amat menyedihkan kerana berlaku ketika masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di situ sedang meraikan pesta menuai padi huma dan menangkap ikan.

“Sekarang penduduk sudah tidak berani keluar rumah untuk mencari hasil hutan dan sumber makanan. Diharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memasang lebih banyak perangkap dan menangkap haiwan itu secepat mungkin.
“Kami sedia memberi kerjasama dan mengikut apa sahaja arahan pihak berkuasa yang sedang giat memburu haiwan tersebut. Ini termasuklah berpindah keluar dari kampung buat sementara waktu,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Kata Alak, lebih membimbangkan, ada dalam kalangan harimau terbabit dilaporkan berkeliaran dekat dengan rumah penduduk.
Semalam, sambutan perayaan menuai padi dan menangkap ikan sungai masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Sau bertukar tragedi apabila Anek ditemukan maut dipercayai dibaham seekor harimau belang.
Dalam kejadian pukul 9.10 pagi itu, mangsa, Anek Along, 59, yang dipercayai sedang menumbuk padi huma di belakang rumahnya disedari hilang sebelum orang kampung menemui mayatnya di dalam hutan.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, selepas cuba menyerang anggota Perhilitan yang memburunya, harimau jantan berusia tiga tahun seberat 120 kilogram terbabit terpaksa ditembak hingga mati pukul 12.15 tengah hari semalam. -UTUSAN ONLINE










