PETALING JAYA: Lebih 1.1 juta tan metrik sisa plastik yang dibuang ke negara ini dijangka mempercepatkan krisis perubahan iklim selain mengancam hak serta menjejaskan kesihatan masyarakat.
Pegawai Penyelidik Kanan Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S. Mageswari berharap negara boleh melangkah ke arah sisa sifar yang membawa kepada perkembangan positif.
“Kerajaan perlu menumpukan kepada pengurangan sisa plastik, pendidikan kepada pengguna juga perlu dipertingkatkan dengan pengharaman plastik sekali guna yang berbahaya dengan bahan penambah yang toksik.
“Kami mencadangkan kerajaan melarang pengimportan sisa ke negara ini kerana ia akan menangani isu sisa diimport yang tidak boleh dikembalikan ke negara asal, serta menjadi langkah yang berkesan ke arah menyelesaikan pemprosesan sisa secara haram di Malaysia,” katanya semasa dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, sebanyak 1.1 juta tan metrik sisa plastik dibuang di negara ini menjadikan Malaysia kedua tertinggi selepas Thailand dalam kalangan negara ASEAN sia Tenggara yang membuang sebanyak 69.54 kilogram plastik perkapita.
Jumlah tersebut dikhuatiri meningkat apabila negara ini dijangka mempunyai populasi melebihi 35 juta orang menjelang 2025.
Justeru, angka berkenaan diunjur menaik apabila sebanyak 140 tan metrik sampah plastik dibuang di Asia Tenggara pada 2030, dan Malaysia adalah antara penyumbang terbesar.
Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Hafizudin Nasarudin mencadangkan kerajaan mengikut negara-negara luar dari segi pengurusan dan pencemaran sisa plastik seperti Singapura iaitu negara keempat terbaik dalam menguruskan isu tersebut.
Jelasnya, Jerman menjadi menjadi negara terbaik dalam pengurusan sisa plastik kerana kesungguhan kerajaan, mentaliti rakyatnya dan syarikat di negara berkenaan sentiasa bertanggungjawab terhadap produk mereka.
“Mereka mampu menguruskan sisa plastik dengan baik iaitu sebanyak 70 peratus sisa mereka berjaya di kitar semula dan hanya 30 peratus dibuang.
“Mereka juga mewajibkan syarikat menggunakan plastik konvensional kepada yang mesra alam. Malah di rumah mereka mereka ada lima tong untuk mengasingkan sampah.
“Jerman turut mempunyai sistem titik hijau iaitu pengeluar mahupun penjual perlu membayar yuran atau cukai titik hijau terhadap setiap produk yang dikeluarkan atau dijual,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE










