MELAKA: Zakat perniagaan di Melaka merekodkan jumlah kutipan tertinggi bagi tempoh Januari hingga 6 Disember lalu, iaitu lebih RM50 juta atau 62.58 peratus daripada keseluruhan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
Sulaiman yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata, kutipan zakat di negeri ini meningkat sebanyak 7.36 peratus dengan jumlah keseluruhan lebih RM85 juta, berbanding hanya sekitar RM79 juta untuk tempoh sama tahun lalu.
Jelasnya, ia disokong peningkatan bilangan pembayar yang turut meningkat kepada 47,945 orang berbanding 45,515 orang pada 2020.
“Zakat perniagaan merekodkan jumlah kutipan tertinggi iaitu sebanyak RM50,388,815.76 atau 62.58 peratus.
“Ia diikuti dengan zakat wang simpanan dengan jumlah kutipan sebanyak 15,701,800.74 dan zakat emas perak merekodkan jumlah kutipan sebanyak RM998,253.55.
“Manakala kutipan zakat paling rendah adalah zakat pertanian berjumlah RM57,929.63 atau peningkatan sebanyak 0.07 peratus berbanding tahun lalu dengan kutipan sebanyak RM34,825.55,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan di Dewan Seri Utama, Seri Negeri di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ts. Kamel Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Ibrahim Fadzil.
Terdahulu, Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM7,463,108.03 daripada 16 agensi dan syarikat korporat. – UTUSAN ONLINE