Waris Salleh Perang fail notis permohonan faraid harta pusaka RM300 bilion - Utusan Malaysia

Waris Salleh Perang fail notis permohonan faraid harta pusaka RM300 bilion

MOHD. ZAINI ARIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Waris kepada Datuk Bentara Luar Johor, Allahyarham Datuk Mohammed Salleh Perang memfailkan notis permohonan untuk mendapatkan satu perintah faraid bagi harta pusaka yang bernilai lebih RM300 bilion di Mahkamah Syariah, hari ini.

Peguam mereka, Norhanisah Johar memberitahu, afidavit bagi permohonan itu telah ditandatangani seramai 11 pemohon yang merupakan wakil kepada waris.

Menurutnya, permohonan itu baharu dibuat kerana pihaknya masih lagi meneliti harta pusaka milik Mohammed Salleh yang berhak diserahkan kepada waris-warisnya.

“Ketika ini, waris Allahyarham sudah menjangkau tujuh generasi melibatkan  lebih 4,000 orang dengan daftar kematian melibatkan waris yang direkodkan adalah seramai 462 orang.

“Waris hidup yang paling tua adalah seorang wanita berusia 86 tahun manakala yang paling muda pula bersekolah rendah.

“Proses hari ini adalah untuk mendapatkan perintah faraid daripada pihak mahkamah iaitu untuk menentukan siapa waris dan berapa nilai harta pusaka yang berhak dimiliki mereka.

“Selepas proses ini selesai, barulah proses tuntutan lain akan dibuat ke Pejabat Tanah dan pejabat-pejabat agensi kerajaan negeri lain,” katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan Mahkamah Syariah.

Sementara itu, wakil kepada waris, Mohd. Zaini Aris pula memberitahu, tuntutan yang dibuat hari ini adalah mengikut kepada lunas undang-undang oleh waris yang berhak ke atasnya.

Menurutnya, harta pusaka Allahyarham dianggarkan bernilai lebih RM300 bilion dalam bentuk hartanah jika dinilaikan dengan harga semasa.

Mohd. Zaini sebelum ini memaklumkan pihaknya mempunyai dokumen sah seperti geran tanah untuk membuktikan Allahyarham masih mempunyai aset di beberapa daerah yang hingga kini masih belum dipindah milik kepada waris yang berhak.

Dakwanya, usaha untuk mendapatkan harta pusaka berkenaan pada tahun 2016 dengan bantuan peguam tidak dapat diteruskan kerana dihalang pihak tidak bertanggungjawab. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya