Wanita rugi lebih setengah juta ditipu ‘Datuk Suhaimi’ dari Bukit Aman - Utusan Malaysia

Wanita rugi lebih setengah juta ditipu ‘Datuk Suhaimi’ dari Bukit Aman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang wanita kerugian RM697,000 selepas ditipu seorang individu yang menyamar sebagai Pengarah di Bukit Aman dengan nama panggilan ‘Datuk Suhaimi’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor, Asisten Komisioner Amran Md. Jusin berkata, mangsa yang juga seorang jurujual kenderaan di Kluang itu pada mulanya dihubungi seorang individu tidak dikenali pada 16 Disember lalu.

Katanya, individu berkenaan memaklumkan mangsa mendaftar sebuah syarikat dan mempunyai tunggakan bayaran cukai sebanyak RM55,800.

Menurut Amran, mangsa seterusnya disambungkan ke ‘Bukit Aman’ dan berurusan dengan Pengarah bernama Datuk Suhaimi yang menghantar satu pautan mengarahkan mangsa mengisi maklumat peribadi dan butiran perbankan.

“Datuk Suhaimi seterusnya mengarahkan mangsa memindahkan kesemua wang ke dalam akaun yang diberi bagi tujuan membantu siasatan. Mangsa kemudian memindahkan RM312,795.66 ke dalam akaun itu pada 21 Disember. 

“Namun ketika membuat semakan akaunnya semalam, dia mendapati terdapat pengeluaran wang daripada akaunnya ke pihak tidak dikenali menyebabkannya mengalami kerugian berjumlah RM697,000,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Amran, mangsa yang hanya menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya