PETALING JAYA: Seorang penunggang motosikal menghadapi situasi cemas dan panik apabila treler di hadapannya melanggar laluan jejambat lalu menyebabkan batu-batu jatuh dan menimpa penunggang itu serta sebuah kereta Perodua Axia.
Rakaman insiden yang tular dalam aplikasi media sosial Facebook itu dipercayai dirakam menerusi kamera papan pemuka milik kereta yang berada di belakang motosikal tersebut.
Individu yang menyiarkan rakaman itu di Facebook, Aliff Haiqal berkata, kejadian tersebut berlaku di depan Petronas Taman Kobena, Jalan Bertingkat Skudai, Johor.
“Selalu tengok dekat koleksi dashcam, hari ni depan mata sendiri. Depan Petronas Taman Kobena, Jalan Bertingkat Skudai. Kalau Axia itu ada kerosakan dan perlukan bukti, boleh panjangkan ke group Axia,” tulisnya di ruang keterangan Facebook.
– MEDIA SOSIAL
Mengulas kejadian hampir meragut nyawa itu, rata-rata pengguna Facebook menyalahkan pemandu treler tersebut kerana tidak mengikut peraturan lebuh raya yang ada menetapkan had ketinggian muatan dan warganet turut mendoakan keselamatan pemandu-pemandu terlibat.
“Kadangkala hairan juga mananya tidak, pemandu treler macam ni mana dia dapat lesen bawa treler panjang,” komen Shak Soon Yong.
“Masalah betul lori yang lalu sini tak tahu had tinggi. Dekat depan sikit tu flyover nak ke Paradigm pun selalu lori langgar palang,” komen Sam Mael. – UTUSAN ONLINE










