Video buli di Kelantan tular sejak semalam kes lama - Utusan Malaysia

Video buli di Kelantan tular sejak semalam kes lama

SHAFIEN Mamat bersama Mohd Riduan Junoh (kiri) menyampaikan bantuan kepada pesara polis di Sudara Beach Resort, Bachok, Kelantan hari ini. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Video memaparkan seorang pelajar dibuli tiga pelajar lain di sebuah sekolah di Tanah Merah yang tular sejak semalam bukan kes baharu, sebaliknya kes lama yang sudah diambil tindakan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, kes tersebut berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemahang tahun lalu dan setiap pelaku telah pun menerima hukuman.

Kata beliau, klip video berdurasi 26 saat itu mungkin dikongsikan semula berikutan kes buli melibatkan pelajar di asrama di Perak yang sedang hangat diperkatakan beberapa hari kebelakangan ini.

“Kes berkenaan berlaku pada tahun lepas dan semua tindakan sudah diambil termasuk menahan pelaku buli. Malah pertuduhan ke atas mereka dan perbicaraan kes di mahkamah juga telah selesai.

“Video ini kes lama yang tidak seharusnya dimuat naik atau dikongsikan semula kerana boleh menimbulkan salah faham,” katanya kepada pemberita selepas Program Sumbangan Prihatin Majlis Jaksa Pendamai Kelantan kepada pesara polis dan golongan asnaf di sini hari ini.

Dalam program turut dihadiri Setiausaha Majlis Jaksa Pendamai Kelantan, Datuk Mohd. Riduan Junoh, seramai 50 penerima melibatkan pesara polis dan asnaf menerima sumbangan wang tunai dan beg bekalan makanan asas.

Shafien dalam pada itu menambah, tiada kes buli melibatkan pelajar sekolah dilaporkan di negeri ini sepanjang tahun ini.

Pada 9 September tahun lalu, media melaporkan pelajar tingkatan satu dibuli tiga pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah di Tanah Merah, gara-gara tidak menunaikan janji untuk belanja mereka makanan segera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN