TVET lahirkan tenaga kerja mahir, terlatih, cipta peluang kerja

TVET lahirkan tenaga kerja mahir, terlatih

KAMARUL AZMAN KHAMIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Bidang Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET) bukan sahaja mampu melahirkan tenaga kerja mahir dan terlatih malah berupaya mencipta peluang kerja sendiri berbekalkan kemahiran yang dimiliki.

Dalam masa sama, Pengarah Kajian Institut Indonesia, Thailand dan Singapura UUM (UUM-ITS), Dr. Kamarul Azman Khamis turut menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membangkitkan berhubung bidang TVET yang sering disalah erti sebagai pilihan kedua dan hanya layak untuk individu kurang cemerlang dari segi pencapaian akademik. 

Katanya, graduan TVET mempunyai potensi dan kemahiran luas dalam bidang teknikal sekali gus turut berupaya dilibatkan untuk mengisi jawatan strategik dan pembuat dasar negara.

“Lazimnya, setiap program yang ditawarkan direka khusus untuk memenuhi permintaan kerjaya masa ini. Malah, mereka juga didedahkan dengan penggunaan teknologi dengan meluas sewaktu kuliah dan ketika menjalani latihan industri.

“Malah, pengumuman Perdana Menteri memperkasakan TVET sebelum ini adalah amat baik dan banyak membantu ke arah kemahiran ataupun vokasional. 

“Mereka, yang tergolong dalam bidang TVET kebiasaannya gemar mencuba sesuatu yang baharu seperti bertukang dan menggunakan peralatan mesin sekali gus dapat meningkatkan kemahiran diri dan memupuk keinginan untuk pembaharuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, Ismail Sabri dilaporkan berkata, bidang teknikal kekal relevan dan terus berkembang luas selari dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Kata Ismail Sabri, kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion dalam Belanjawan 2022 untuk memperkasa bidang TVET.

Dalam masa sama, Ismail Sabri juga berharap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dapat membuka lebih banyak peluang kepada warga profesion teknikal mengisi jawatan strategik dan pembuat  dasar negara yang secara tradisinya diisi golongan pengurusan, dalam merealisasikan perkhidmatan awam  berprestasi tinggi. 

Tambah Kamarul Azman, pendekatan TVET juga berupaya meningkatkan kebolehpasaran pelajar untuk lebih berdaya saing dan mendapat tempat di dalam industri.

“Seperti mana pendekatan Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Seri Mahdzir Khalid yang melihat sudah sampai masanya TVET diperkenalkan secara menyeluruh.

“Kita boleh menempatkan mereka untuk berdaya saing khususnya melalui memorandum persefahaman (MoU) bersama negara- negara industri untuk bertukar kepakaran dan teknologi di dalam membangunkan ekonomi sesebuah negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya