Tiga lelaki termasuk dua beranak dituduh membunuh - Utusan Malaysia

Tiga lelaki termasuk dua beranak dituduh membunuh

TIGA lelaki dihadapkan di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki di Pasar Pagi Rumah Pangsa, Jalan Hospital di Ipoh pada 25 November lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tiga lelaki termasuk dua beranak dihadapkan di Mahkamah Majistret Ipoh di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki di Pasar Pagi Rumah Pangsa, Jalan Hospital di sini pada 25 November lalu.

Ramli Lot, 60, dan anaknya, Ismail Rizwan, 34, dan seorang saudara mereka, Mohd Fuzi Ab. Manaf, 47, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan serentak di hadapan Majistret Noor Azreen Liyana Mohd. Darus.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka dituduh melakukan pembunuhan yang menyebabkan kematian Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, di Pasar Pagi Rumah Pangsa, Jalan Hospital di sini di antara pukul  9.50 hingga 11.05 pagi pada 25 November lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sufi Aiman Azmi manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Hakim Hamran.

Pada prosiding itu, Mohd. Hakim memaklumkan Ramli didiagnos mempunyai kemurungan dan gangguan emosi selain pernah menjalani pembedahan pembuangan tumor di kepala pada tahun 2013.

Menurutnya, tertuduh mempunyai temu janji menjalani prosedur imbasan magnetik resonan (MRI) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada 27 Disember ini.

Justeru, Sufi Aiman memohon supaya Ramli dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) untuk penilaian kesihatan mental.

Noor Azreen Liana kemudiannya membenarkan permohonan itu dan menetapkan pada 3 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi laporan bedah siasat dan mental.

Dalam kejadian 25 November lalu, Muhammad Noor Faqih  maut dalam pergaduhan dengan tiga suspek yang dikatakan berpunca daripada isu kecurian pembesar suara mudah alih.

Suspek dikatakan tidak berpuas hati dengan mangsa yang dipercayai mencuri pembesar suara milik seorang daripada mereka sehingga berlaku pertengkaran mulut yang akhirnya membawa kepada pergelutan.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.