Tanah runtuh Cameron Highlands: 'Suami nak berhenti kerja, penat bawa lori' - Utusan Malaysia

Tanah runtuh Cameron Highlands: ‘Suami nak berhenti kerja, penat bawa lori’

NOR Shahida Saidin (kiri) menuntut jenazah suaminya di Jabatan Forensik HRPB Ipoh hari ini. - UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pemandu lori yang maut dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai – Cameron semalam, Muhammad Hafiz Hamdi, 31, menyatakan hasrat untuk berhenti dari pekerjaannya itu baru-baru ini.

Isterinya, Nor Shahida Saidin, 31, berkata, suaminya mahu berhenti kerja kerana keletihan sehingga sakit badan sejak dua tiga hari lalu disebabkan terpaksa berulang-alik dari Kuala Kurau ke Cameron Highlands setiap hari.

Menurutnya, baru-baru ini mereka balik ke rumah keluarga suaminya itu di Tanjung Piandang untuk berbincang mengenai perkahwinan adik suaminya itu pada hujung bulan ini.

“Semasa dalam perjalanan pulang ke rumah kami di Kuala Kurau, dia beritahu nak berhenti kerja.

“Dia kata sudah dua tiga hari sakit badan dan letih, rasa macam nak berhenti kerja sekarang juga. Dia mahu memandu treler pula kerana kerja sekarang dia terpaksa berulang-alik naik ke Cameron dan lepas itu hantar barang ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan Alor Setar.

“Tapi dia kata kalau pandu treler, nanti berjauhan dengan anak-anak dan saya,” katanya kepada ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.

Menurut Nor Shahida, arwah suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan dan dia terkejut dengan kejadian yang menimpa Muhammad Hafiz.

Katanya, suaminya keluar rumah seperti biasa pada awal pagi semalam dan menciumnya dan dua anak mereka, Nurhannan Fitrysha, 3, dan Muhammad Hafiy Fahri, tujuh bulan.

Jelasnya, suaminya berpesan akan balik ke rumah lepas habis bekerja.

Katanya, semasa kejadian, kawan suaminya datang dan bertanya sama ada dia tahu mengenai kejadian tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.

“Saya kata saya tahu dan mereka kemudian memberitahu lori yang terlibat dipandu suami saya.

“Ketika itu saya masih tidak percaya dan saya kata tunggu maklumat lain. Kemudian bos suami saya menghubungi saya dan memberitahu GPS lori di dalam tanah runtuh tersebut adalah lori suami.

“Saya hanya mampu terdiam. Saya ke lokasi bersama ahli keluarga yang lain untuk melihat kejadian berkenaan,” katanya.

Sementara itu, jenazah Muhammad Hafiz dibawa oleh beberapa ahli keluarga dari Jabatan Forensik HRPB di sini sekitar pukul 12 tengah hari.

Nor Shahida berkata, jenazah suaminya akan dikebumikan kampungnya di Tanjung Piandang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya