Industri fesyen negara terus dimartabat ke peringkat global menerusi pelancaran International Fashion Chamber Malaysia (MyFashionChamber), sebuah platform yang menyatukan pelbagai pemain utama di bawah satu bumbung.
Pengasas dan Pengerusinya, Dr. Leena Al-Mujahed berkata, inisiatif yang julung kali diperkenalkan itu akan menghimpunkan pereka fesyen, agensi kerajaan dan swasta, institusi pendidikan di samping pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha memperkukuh ekosistem fesyen tempatan serta meluaskan capaian ke peringkat antarabangsa.
Katanya, kewujudan platform tersebut bukan sekadar sebagai wadah jaringan industri, malah berperanan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi kreatif negara.
“MyFashionChamber merupakan satu gerakan yang memperkasa industri fesyen negara dengan memberi ruang kepada pereka tempatan mengetengahkan bakat mereka di pentas global.
“Kita mahu Malaysia dikenali bukan hanya sebagai pengguna fesyen, tetapi sebagai peneraju fesyen lestari dan inklusif di rantau ini,” katanya baru-baru ini.
Dalam majlis itu, MyFashionChamber turut melancarkan skim perlindungan risiko dan operasi bagi perniagaan fesyen (FROC) dengan kerjasama Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz General) bagi melindungi usahawan daripada risiko operasi harian dan penyertaan dalam acara fesyen.
Leena berkata, sejak ditubuhkan awal tahun ini, MyFashionChamber berjaya membawa tiga jenama tempatan iaitu Arlina Ayou, Yani Bakhtiar dan Casalwa ke pentas antarabangsa menerusi penyertaan dalam International Fashion Weeks di Amsterdam dan Abu Dhabi Modest Fashion Week.
Bagi memperluas lagi pengaruh industri tempatan, pihaknya turut merancang siri jelajah pendidikan fesyen di seluruh negara serta menjalin kerjasama rentas budaya dan ekonomi.

Percaya potensi luar biasa Malaysia
Sementara itu, pejuang komuniti pelarian berasal dari Yaman ini menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang memiliki kekuatan unik bukan sahaja dari segi kepelbagaian budaya, malah bakat serta semangat rakyatnya.
Sepanjang tujuh tahun menetap di negara ini, keyakinan beliau terhadap potensi besar yang dimiliki Malaysia tidak pernah luntur, bahkan semakin kukuh.
“Tidak ada negara lain yang mempunyai kepelbagaian budaya seindah Malaysia. Saya sudah melawat banyak negara, tetapi Malaysia sangat berbeza dan istimewa.
“Atas sebab itu, saya nekad menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan fesyen serantau yang beridentiti dan berdaya saing,” katanya.










