MARANG: Taktik seorang lelaki dipercayai pengedar dadah mengirim barangan terlarang itu menerusi perkhidmatan kurier tidak kesampaian apabila bungkusan berkenaan dirampas pihak polis di Bukit Payung di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah, Mohd. Zain Mat Dris berkata, bungkusan mengandungi dadah jenis pil Yaba, syabu dan Erimin 5 yang keseluruhannya bernilai RM23,400 itu berjaya dibongkar hasil aduan pihak syarikat kurier pada pukul 11 pagi.
Katanya, polis bergegas ke premis kurier berkenaan sebaik sahaja menerima maklumat berhubung tiga bungkusan mencurigakan itu.
“Pemeriksaan pada bungkusan pertama mendapati ia mengandungi pil Yaba seberat kira-kira 60.43 gram dan syabu (101.61 gram).
“Bungkusan kedua pula mengandungi Erimin 5 (26.62 gram) dan syabu (25.54 gram) manakala Erimin 5 ( 26.45 gram) dan pil Yaba (19.52 gram) pula dijumpai pada bungkusan ketiga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Zain berkata, berdasarkan alamat pengirim bungkusan terbabit, sepasukan polis telah menyerbu sebuah rumah di Kampung Gemuruh dan kemudian berjaya menahan suspek.
Katanya, pemeriksaan menjumpai tiga resit syarikat kurier berkenaan dalam sebuah beg berwarna hitam yang terdapat pada poket seluar jeans lelaki itu.
“Kita turut merampas Mykad dan sebuah kereta Honda City berwarna putih milik suspek, manakala ujian urin mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine selain memiliki 14 rekod jenayah berkaitan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.