Pemilik pusat jagaan haiwan liar maut dibaham harimau belaan sendiri - Utusan Malaysia

Pemilik pusat jagaan haiwan liar maut dibaham harimau belaan sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

OKLAHOMA: Pemilik pusat jagaan haiwan liar Growler Pines Tiger Preserve dilaporkan maut selepas diserang seekor harimau di pusat pemeliharaannya di tenggara Oklahoma.

Mangsa, Ryan Easley yang juga bekas rakan sekerja bintang dokumentari Netflix Tiger King, Joe Exotic, disahkan meninggal dunia akibat kemalangan ketika mengendalikan harimau di bawah jagaannya, menurut kenyataan pihak pusat tersebut.

Tiada butiran lanjut mengenai insiden itu didedahkan, namun pihak pengurusan memaklumkan fasiliti tersebut ditutup sementara.

“Tragedi ini mengingatkan kita tentang keindahan dan sifat tidak terduga alam semula jadi,” kata kenyataan mereka di Facebook, sambil menyifatkan Easley sebagai pencinta hidupan liar yang berdedikasi.

Joseph Maldonado, lebih dikenali sebagai Joe Exotic turut mengucapkan takziah dalam satu hantaran media sosial yang kemudian dipadam, lapor akhbar The Oklahoman.
“Doa saya bersama keluarganya. Ryan menjaga haiwan-haiwannya dengan penuh kasih sayang, terutama harimau dan juga gajah,” tulisnya.

Joe Exotic kini menjalani hukuman penjara 21 tahun di Pusat Perubatan Persekutuan Fort Worth selepas disabitkan 19 pertuduhan jenayah persekutuan, termasuk kesalahan hidupan liar dan kes cubaan membunuh terhadap pesaingnya, Carole Baskin.

Sementara itu, kumpulan hak haiwan PETA terus mengkritik pusat pemeliharaan Easley, menuduhnya mengangkut harimau ke seluruh negara, memaksa haiwan itu beraksi dalam sarkas kejam dan menempatkan mereka di dalam sangkar sempit untuk tempoh lama.

PETA juga mendakwa Easley pernah dilihat memukul harimau secara ganas semasa sesi latihan dan menempatkan haiwan tersebut di zoo jalanan milik Joe Exotic.

PETA menyeru agar semua pengusaha zoo jalanan menamatkan operasi dan memindahkan haiwan ke pusat perlindungan bertauliah supaya haiwan tersebut dapat hidup ‘aman’.

Joe Exotic membalas kenyataan itu di Facebook, menuduh PETA sering berbohong dan cuba mengaitkan dirinya dalam setiap isu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN