PUTRAJAYA: Tauge adalah sejenis sayur yang paling kurang digemari oleh kebanyakan rakyat di negara ini tidak kira jantina atau usia.
Jika anda salah seorang daripadanya, bolehlah anda mula sertai satu kumpulan di Facebook yang dikenali sebagai Persatuan Tak Makan Tauge Satu Malaysia (PTMT1M).
Tidak cukup hanya mengasingkan sayur itu di pinggan, ahli kumpulan itu tampil menterjemah rasa kurang selesa mereka terhadap tauge menerusi hantaran-hantaran di platform media sosial itu.
Apa yang mengejutkan, PTMT1M mendapat sambutan menggalakkan apabila kumpulan itu disertai lebih 15,000 pengikut dari seluruh negara sejak diwujudkan lebih setahun lalu.
Menerusi pemantauan Utusan Malaysia di PTMT1M, ahli-ahli kumpulan itu tanpa rasa segan berkongsi gambar juadah makanan dengan sisa tauge yang sudah diasingkan dari pinggan.

Pada masa sama, ada juga ahlinya yang berkongsi hantaran video yang menunjukkan kemahiran masing-masing untuk mengasingkan tauge dari pinggan.
Antara hantaran-hantaran lain termasuk berkongsi gambar dengan kapsyen menarik dan melucukan seperti ‘siapalah mi kari tanpa tauge’, ‘tiada tempat untuk tauge dalam mi kari’, kalau nak cari lelaki yang sabar, carilah yang suka asingkan tauge’ dan ‘selak tauge nampak bihun’.
Pengendali PTMT1M, Nazif Huzaini, 40, berkata, kumpulan itu diwujudkan untuk meraikan rakyat Malaysia yang tidak suka makan tauge.
Menurutnya, awalnya ia diwujudkan atas tujuan suka-suka, namun tidak menyangka platform itu mendapat sambutan ramai tidak kira jantina, usia dan bangsa.
“Kami juga merancang untuk mengeluarkan t-shirt khas bagi ahli kumpulan ini pada masa depan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Di sebalik statusnya yang sering diasingkan dalam sepinggan nasi kerabu atau char kuey teow, sayur itu sebenarnya banyak khasiat yang mungkin ramai tidak peduli.
Sebenarnya, tauge turut kaya dengan protein, malah dua kali ganda berbanding daging lembu atau ayam selain mampu meningkatkan kesuburan lelaki.
Khasiat lain termasuk kaya dengan enzim, serat, antioksidan, asid lemak dan vitamin.
Selepas meneliti pelbagai manfaat dan khasiat tauge ini, rakyat Malaysia sudah boleh mengubah persepsi dan pandangan serong terhadap tauge.