KUANTAN: Sri Pahang menerima tajaan RM1.13 juta daripada syarikat Hakka Clo Plt. selama dua musim bagi mengharungi saingan Liga Super musim 2022/2023.
Majlis menandatangani perjanjian penajaan antara Sri Pahang dan Hakka Clo Plt., pembekal peralatan sukan bumiputera berjenama tempatan berlangsung di Sri Pahang Lounge, di sini semalam.
Sri Pahang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Muhammed Suffian Awang manakala Hakka Clo Plt. diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noor Sollihin Mohamed dan turut dihadiri Pengerusi Sri Pahang, Raja Datuk Shaharudin Shah Raja Jalil Shah.
“Tajaan kelengkapan sukan jenama Hakka Clo Plt. adalah untuk pasukan Liga Super sahaja sementara skuad Piala Belia, Presiden ditaja oleh pihak lain,” kata Muhammed Sufian.
Menerusi perjanjian penajaan yang dimeterai itu, Hakka Clo Plt. akan menaja kelengkapan sukan untuk Sri Pahang FC bagi saingan Liga Malaysia musim 2022 dan 2023 dengan jumlah tajaan keseluruhan RM1,13 juta.
Hakka Clo Plt. telah beroperasi lebih 10 tahun dalam perniagaan pembekalan kelengkapan sukan sebelum mengembangkan perniagaan dengan pembukaan kilang pembuatan jersi sublimation sendiri pada 2016.
Sementara itu, Nor Solihin berkata pihaknya berminat menaja skuad Tok Gajah kerana reputasi yang dimiliki selain beliau adalah peminat setia Sri Pahang.
“Saya dibesarkan di Jengka, bersekolah di Kuantan dan semenjak tahun 90-an saya sudah berminat dengan pasukan Pahang,” katanya.
Beliau turut menyatakan pihaknya sedang dalam proses untuk menjual kelengkapan sukan jenama Hakka kepada peminat Sri Pahang. – UTUSAN ONLINE