SHMKM bantu tauke besar kekal keuntungan - ADUN Perak

SHMKM bantu tauke besar kekal keuntungan – ADUN Perak

MUHAMAD ARAFAT VARISAI MAHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang wakil rakyat Perak mendakwa Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang diperkenalkan bulan ini tidak membantu rakyat tetapi seolah-olah mahu membantu ‘tauke-tauke’ besar mengekalkan keuntungan besar mereka.

Muhamad Arafat Varisai Mahamad (PH-Hulu Kinta) berkata, ini kerana SHMKM menetapkan harga siling 12 barangan terpilih dalam skim tersebut pada kadar agak tinggi daripada harga sepatutnya.

“Sebagai contoh, harga pasaran semasa cili merah di luar musim perayaan ialah antara RM9 hingga RM10 sekilogram tetapi kerajaan tetapkan harga siling pada RM17.

“Sepatutnya kerajaan membantu dan berusaha membantu rakyat mendapatkan harga murah, jika kenaikan antara RM2 hingga RM3 itu biasalah, jadi ini bukan tindakan bijak oleh kerajaan,” katanya pada sidang akhbar selepas menyertai perbahasan Belanjawan Perak 2022 di Sidang Dewan Undangan Negeri Perak hari ini.

Muhamad Arafat yang juga Ketua Penerangan PKR Perak menyatakan, ada beberapa barangan dalam SHMKM pula hanya menyenaraikan harga pada peringkat pemborong dan peruncit sahaja, tetapi tidak meletakkan harga di ladang.

Beliau mencadangkan agar kerajaan menjadikan harga di ladang sebagai ‘pengikat’ atau penanda aras kepada peletakan harga di peringkat pemborong dan peruncit, bagi membolehkan pengguna mendapat harga murah.

Muhamad Arafat memberi contoh harga kangkung di ladang ialah antara 90 sen dan RM1.50 bagi satu kilogram tetapi dijual pemborong kepada peruncit pada harga antara RM5 hingga RM7 bagi setiap kilogram,

“Jadi, peruncit nak letak harga berapa, RM8, RM9 atau RM10 untuk mereka mendapatkan keuntungan?” Katanya,

Menurut beliau, kelemahan lain SHMKM ialah ada barangan yang mempunyai beberapa gred dan saiz seperti tomato tetapi diletakkan harga siling seragam iaitu RM5.50 sedangkan harga semasa tomato gred S iaitu paling kecil ialah RM2 satu kilogram.

Beliau juga mempertikaikan tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan pekeliling SHMKM kepada peruncit pada 6 Disember iaitu sehari sebelum ia mula dikuatkuasakan pada 7 hingga 31 Disember.

“Kelihatan ia dibuat secara tergesa-gesa, sepatutnya memberi maklumat awal kepada peruncit kerana ia melibatkan isu berkaitan stok barangan, seolah-olah mahu bagi keuntungan kepada peladang dan pemborong, yang jadi mangsa ialah peruncit dan pengguna,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN