ALOR SETAR: Penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad hampir pasti untuk kembali menyarung jersi hijau kuning secara pinjaman daripada pasukan JDT pada musim depan.
Ketua Pegawai Eksekutif, Kedah Darul Aman, Khamal Idris Ali berkata, setakat ini, pihaknya sudah menjalankan perbincangan bersama pengurusan JDT bagi berhubung perkara itu.
“Kami sudah mengadakan perbincangan bersama JDT malah saya sendiri telah bercakap dengan Syafiq dan dia sendiri telah menyatakan keinginan untuk beraksi bersama Kedah.
“Setakat ini segalanya tampak positif dan jika segalanya ‘okay’, insya-Allah Syafiq akan beraksi bersama Kedah musim depan,” katanya kepada pemberita selepas selesai Kongres Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) ke-46 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Selasa lalu, Pengarah Sukan JDT, Martin Prest mengesahkan pasukan itu sedang berbincang dengan beberapa kelab untuk meminjamkan Syafiq Ahmad.
Malah, kepulangannya ke bumi Darul Aman kian hangat diperkatakan apabila pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim membuat ciapan pemain itu sudah pasti ingin bermain untuk pasukan yang beraksi di peringkat Asia seperti Kedah atau Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut katanya, kehadiran Syafiq ke dalam pasukan bagaimanapun tidak bermakna bahawa pemain itu akan terus diserap ke dalam skuad utama hanya kerana statusnya semata-mata.
“Itu perkara biasa dan dia tetap perlu bersaing juga untuk mendapatkan tempat. Bukan terus masuk ‘first eleven’ kerana persaingan untuk menjadi pemain utama memang sengit,” katanya.
Mengulas mengenai persiapan pasukan musim depan, Khamal berkata, kebanyakan pemain baharu yang dibawa masuk ke dalam pasukan itu ketika ini, merupakan pemain-pemain utama daripada pasukan lain yang telah memberi sumbangan besar kepada pasukan masing-masing, musim lalu.
“Kita mungkin hilang dua atau tiga pemain sedia ada, tetapi saya boleh katakan yang kita telah memperolehi empat atau lima pemain berkualiti bagi mengisi lompong dalam pasukan sebelum ini.
“Purata usia pemain kita berada pada tahap matang dan tidak banyak yang cecah 30 tahun ke atas. Jadi dari segi prestasi dan kecergasan, rasanya kita mampu beri cabaran terbaik dalam Liga Super 2022,” katanya.