SEGAMAT: Anggota pasukan tindakan kecemasan (ERT) kilang memproses habuk papan, Mohamad Azuraini Mahrani, 40, yang melecur ketika membantu memadam kebakaran di tempatnya bekerja turut meninggal dunia di Hospital Segamat, hari ini.
Perkara itu disahkan adik mangsa, Azizul, 36, yang memaklumkan Allahyarham Mohamad Azuraini meninggal dunia pada pukul 9.24 pagi akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Menurut Azizul, abangnya telah berkhidmat di kilang berkenaan sebagai penolong pengurus sejak berpuluh tahun lalu.
Katanya, arwah meninggalkan seorang balu, Normala Sudirman, 40, dan tiga orang anak termasuk dua perempuan yang berusia antara 12 hingga lapan tahun.
“Pemergian arwah abang merupakan satu kehilangan besar buat seluruh keluarga kami. Arwah seorang anak yang baik dan bertanggungjawab. Kami bercadang untuk bercuti di Selangor dalam masa terdekat namun takdir ini yang tiba,” katanya sebak ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Segamat.
Terdahulu, Pegawai Bomba Mohd. Firdaus Sulaiman, 32, yang turut tercampak dari ketinggian 10 meter bersama-sama Mohamad Azuraini turut meninggal dunia pada pukul 4.15 pagi ketika menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) hospital sama.
Tambah Azizul, Mohamad Azuraini yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik telah mengalami kelecuran tahap dua dan tiga ketika dirawat sejak kelmarin.
Jenazah Mohamad Azuraini akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Felda Redong untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Redong lewat petang ini.
Pada Sabtu lalu, berlaku kebakaran di sebuah kilang pada pukul 5.15 pagi sebelum seramai 22 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat dan Labis dikejarkan ke tempat kejadian.
Bagaimanapun, kira-kira pukul 10 pagi ketika operasi pemadaman masih dijalankan, berlaku satu letupan di tingkat tiga bangunan kilang yang menyebabkan runtuhan pada struktur bangunan itu.
Seorang lagi anggota bomba, Pegawai Kanan II Khas Untuk Penyandang (KUP), Syed Putra Syed Mohamed Al-Atas, 52, yang berada di bawah pula turut melecur di bahagian leher dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.










