Segera selesaikan isu doktor kontrak - Utusan Malaysia

Segera selesaikan isu doktor kontrak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gerakan Hartal Doktor Kontrak bakal memulakan gerakan mereka semula pada bulan ini disebabkan penyerapan ke lantikan tetap oleh Kementerian Kesihatan masih gagal dipenuhi.

Jurucakapnya, Dr. Mustapha Kamal A. Aziz berkata, kerajaan perlu lebih serius dan prihatin mengenai isu penyerapan doktor kontrak ini kerana isu tersebut sudah berlanjutan sekian lama tapi masih tiada penyelesaian.

Menurut beliau, penyerapan lebih 4,000 doktor kontrak ke jawatan tetap masih tidak mencukupi kerana masih ramai yang tidak mendapat kata putus oleh Kementerian Kesihatan berhubung masa depan mereka..

DR. MUSTAPHA KAMAL A AZIZ

“Sepatutnya isu ini sudah ada penyelesaian dan tidak perlu kami lakukan mogok ini, kerana bukan sudah buat dasari dan baru hendak tubuh jawatankuasa bagi menyelesaikan masalah ini. Ini mengenai perubatan negara dan perlu diselesaikan segera.

“Memang betul penyerapan lebih 4,000 doktor kontrak itu bagus, tetapi berapa ramai lagi masih tergantung tanpa tali menunggu keputusan mereka yang tidak tahu bila. Kami perlu kata putus daripada kerajaan kerana ini mengenai masa depan kami,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Gerakan Hartal Doktor Kontrak mengeluarkan kenyataan akan memulakan siri mogok kedua di seluruh negara selepas pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang seolah-olah tidak menyelesaikan masalah lantikan tetap itu.

Mustapha Kamal berkata, lantikan tetap bukan sahaja memberi kebaikan kepada doktor-doktor kontrak malah memberi kebaikan kepada perubatan negara malah memenuhi pelan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin iaitu untuk melahirkan lebih ramai pakar perubatan dalam negara.

Jelasnya, tarikh dan waktu kempen itu akan dimaklumkan pada masa akan datang kerana gerakan tersebut masih menanti jawapan daripada jemaah-jemaah menteri.

“Disebabkan Khairy sudah menjanjikan untuk memanjangkan isu ini di dalam mesyuarat jemaah menteri, jadi kami sedang menunggu sebelum memperincikan mengenai siri mogok kedua,” katanya.

Tambahnya, masyarakat tidak perlu bimbang akan proses sistem perubatan negara pada hari mogok siri kedua itu kerana kempen tersebut tidak akan mengganggu masyarakat dalam mendapatkan proses perubatan yang baik.

“Kami dah buktikan pada hartal sebelum ini dan rakyat juga sudah sedia maklum seperti pada hartal 1.0. Kami berharap rakyat akan menyokong tindakan ini kerana isu ini adalah isu rakyat, isu kesihatan adalah milik rakyat,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN