SEGAMAT: Seorang pengurus syarikat membawa wang tunai RM6,000 sebagai persiapan membayar tunggakan saman jalan raya sejurus selepas mengetahui potongan diskaun 80 peratus ditawarkan polis sejak 9 Disember lalu.
Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Raj, 47, itu berkata, wang dibawanya adalah bagi membayar 40 saman pandu laju.
Katanya, jumlah keseluruhan saman yang perlu dibayar adalah sebanyak RM6,000 dan dengan potongan diskaun itu dia hanya membayar RM1,700 melibatkan empat buah kenderaan miliknya.
“Saya sediakan wang lebih sebab takut saya salah kira. Jika bayar melalui kad pula saya risau transaksi tidak dapat diterima. Jadi lebih baik saya bawa wang tunai lebih.
“Saya juga bimbang jika gagal menjelaskan saman secepat mungkin disenarai hitam dan data dihantar ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk sekatan,” katanya ketika ditemui di kaunter sementara pembayaran saman di Taman Yayasan Segamat di sini, semalam.
Tempoh tawaran diskaun bagi kesalahan trafik kesalahan terpilih hingga 80 peratus dengan had minimum RM30 dilanjutkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 31 Disember ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, lanjutan tempoh pembayaran itu adalah bagi memberi peluang kepada orang ramai mengambil sedikit masa menjelaskan saman mereka.
Sementara itu, Raj mengakui program itu mengurangkan beban masyarakat namun cara pengurusannya perlu lebih baik seperti membuka lebih banyak kaunter di beberapa kawasan tumpuan penduduk dan bukan tertumpu di satu atau dua lokasi sahaja terutama ketika pandemik Covid-19 masih melanda.
“Terima kasih atas pemberian diskaun ini. Saya memuji pendekatan pihak berkuasa yang tidak memberikan pengurangan saman terhadap pesalah yang menggunakan lorong kecemasan,” katanya. – UTUSAN ONLINE