GOMBAK: Seramai 1,266 atau 3.06 peratus calon memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 pada Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024, meningkat kepada 2.85 peratus berbanding 2.84 pada 2023, tertinggi sejak peperiksaan itu dilaksanakan pada 1982.
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, calon cemerlang meningkat seramai 150 orang berbanding 2023 dengan peningkatan sebanyak 0.01 mata adalah tertinggi sejak peperiksaan itu dilaksanakan dan daripada segi pencapaian PNGK, secara keseluruhannya didapati bilangan longgokan dan peratusan longgokan calon STPM 2024 pada PNGK 3.75, PNGK 3.00, PNGK 2.75 dan PNGK 2.00 meningkat berbanding 2023.
Seramai 41,422 atau 99.97 peratus calon layak mendapat sijil daripada 41,434 calon berdaftar.
Sementara itu, kesemua 23 mata pelajaran yang ditawarkan dalam STPM 2024 mencatatkan peratusan lulus penuh melebihi 60 peratus, iaitu gred C dan ke atas.
Empat mata pelajaran menunjukkan peningkatan melebihi tiga peratus daripada segi prestasi Lulus Penuh berbanding prestasi pada 2023, iaitu mata pelajaran ekonomi, kimia, matematik dan perakaunan.
“Tiada mata pelajaran menunjukkan penurunan melebihi negatif tiga peratus. Sebanyak 19 mata pelajaran STPM lain tidak berubah prestasinya kerana beza peratusan calon yang Lulus Penuh antara 2024 dengan 2023 adalah kurang daripada tiga peratus,” katanya pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2024 dan Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM, MUET dan Sijil Kecekapan Bahasa Melayu Bagi Warga Asing (SKBMW) di Dewan Besar MPM, di sini, semalam. Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan dan Ketua Eksekutif MPM, Badrul Hisham Abdullah.
Md. Amin yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, prestasi calon STPM 2024 yang mendapat 5A dan 4A bagi setiap mata pelajaran turut meningkat.
Pada tahun 2024, bilangan calon mendapat 5A dalam kelima-lima mata pelajaran diambil meningkat.
Pelajar yang mendapat 5A dalam kelima-lima mata pelajaran diambil meningkat kepada 53 calon, berbanding 41 calon pada STPM 2023.
“Bilangan calon yang mendapat 4A turut meningkat daripada 1,087 calon pada 2023 kepada 1,228 calon.
“Peratusan calon STPM 2024 yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran berbanding SPM 2023 meningkat sedikit iaitu sebanyak 0.70 peratus atau 201 calon, iaitu daripada 75.85 peratus atau 31,516 calon pada 2023 kepada 76.55 peratus atau 31,717 calon pada 2024,” katanya.
Menyentuh prestasi 23 mata pelajaran yang ditawarkan dalam peperiksaan STPM 2024, Md. Amin berkata, ia merekodkan peratusan lulus penuh melebihi 60 peratus, iaitu bagi gred C dan ke atas.
Katanya, empat mata pelajaran iaitu Ekonomi, Kimia, Matematik dan Perakaunan menunjukkan peningkatan melebihi tiga peratus daripada segi lulus penuh berbanding prestasi pada 2023.
Analisis turut menunjukkan tiada mata pelajaran menunjukkan penurunan melebihi negatif tiga peratus.
Md. Amin turut memberitahu, daripada segi kehadiran mengikut aliran, bilangan calon Sains Sosial yang hadir adalah seramai 38,869 atau 93.81 peratus, manakala bilangan kehadiran calon aliran Sains adalah 2,656 calon atau 6.19 peratus.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, seramai 42,861 calon mendaftar bagi STPM 2024, berbanding 42,908 calon yang mendaftar pada tahun lalu.
Daripada jumlah itu, sebanyak 96.67 peratus atau 41,434 calon hadir menduduki peperiksaan pada ketiga-tiga semester. – UTUSAN








