IPOH: Sebuah lagi sekolah di Perak merekodkan kes Covid-19 susulan 12 pelajarnya disahkan positif virus berkenaan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kesemua pelajar sekolah di Selekoh, Bagan Datuk itu kini menjalani kuarantin di asrama.
Katanya, data terkini itu menjadikan jumlah pelajar di Perak positif Covid-19 adalah seramai 18 orang selepas Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah (SAS) merekodkan enam pelajarnya positif virus sama.
“Memang berlaku jangkitan Covid-19 kepada pelajar sekolah terutama sekali bagi sekolah-sekolah berasrama penuh, tetapi mereka telah diasingkan dan dikuarantin di asrama masing-masing.
“Diharapkan, mereka yang dikuarantin ini segera pulih sebelum dibenarkan pulang untuk cuti sekolah akhir tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sidang Dewan Belia Perak, Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Belia Ke-3, Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Sementara itu, ditanya sama ada terdapat sekolah ditutup ekoran kes berkenaan, Saarani memberitahu, tiada sekolah di negeri ini ditutup susulan penularan virus itu dalam kalangan pelajar.
“Di Perak tiada sekolah ditutup. MRSM juga masih dibuka cuma pelajarnya dikuarantin di asrama yang berasingan dan tidak dibenarkan keluar,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, enam pelajar tingkatan lima MRSM SAS disahkan positif Covid-19 di mana mereka merupakan jangkitan daripada Kluster Jalan Kuala Kangsar Gerik yang dilaporkan pada 29 November lalu.
Pemeriksaan juga telah dijalankan ke atas pelajar tingkatan lima lain namun hasil ujian saringan adalah negatif. – UTUSAN ONLINE