KUALA LUMPUR: Berjaya Land Berhad (Berjaya Land) memperluaskan operasi ke Greenland melalui anak syarikat milik penuhnya, Berjaya Greenland Invest A/S dengan membangunkan pangsapuri kediaman berkualiti tinggi bersesuaian dengan iklim dan keperluan infrastruktur negara tersebut.
Projek itu dilaksanakan hasil kerjasama strategik bersama Majlis Perbandaran Nuuk, ibu negara Greenland dan syarikat Sweden, SIBS Sdn. Bhd. (SIBS) yang memiliki kepakaran dalam sistem pembinaan modular.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Land, Syed Ali Shahul Hameed berkata, langkah itu diambil sebagai tindak balas kepada permintaan tinggi terhadap perumahan dalam kalangan penduduk tempatan di Nuuk.
“Kami berbesar hati dapat menyumbang penyelesaian perumahan moden yang tahan lasak dan praktikal kepada komuniti Greenland. Ia satu peluang penting untuk membangunkan kawasan yang masih belum diterokai.
“Syarikat telah memperoleh tanah di sekitar Nuuk bagi tujuan pembangunan pangsapuri kediaman dan kerja-kerja sedang giat dijalankan di peringkat perancangan dan reka bentuk,” katanya semasa majlis Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Berjaya Land Berhad dan SIBS Sdn. Bhd.
Projek ini turut menampilkan penggunaan teknologi pembinaan modular yang menawarkan beberapa kelebihan utama termasuk kawalan kualiti yang lebih baik, penjimatan masa, kecekapan tenaga serta fleksibiliti reka bentuk mengikut keperluan tempatan.
“Pembinaan modular ini sangat bersesuaian dengan iklim Artik yang mencabar. Ia membolehkan pembinaan yang lebih pantas dan penjimatan kos jangka panjang,” katanya.
SIBS yang berpengkalan di Sweden dan turut mempunyai kemudahan pengilangan di Pulau Pinang dipilih sebagai rakan kongsi teknikal utama dalam projek itu.
“Berjaya Land turut merancang untuk membangunkan hotel dan kediaman berkonsep hospitaliti sebagai sebahagian daripada fasa pembangunan seterusnya bagi menyokong sektor pelancongan Greenland.
“Kami percaya inovasi dan kelestarian harus bergerak seiring. Kerjasama ini bukan sahaja membina rumah, tetapi membina komuniti yang berdaya tahan untuk generasi akan datang,” katanya.
Tambahnya, projek hartanah tersebut dijangka mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM170 juta, menjadikannya antara pelaburan utama syarikat di luar negara setakat ini.
“Kami melihat potensi besar di Greenland, terutamanya selepas pembukaan lapangan terbang antarabangsa baharu di Nuuk tahun lalu yang dijangka melonjakkan kedatangan pelancong ke rantau ini,” katanya.-UTUSAN










