Sabah tubuh syarikat minyak dan gas - Utusan Malaysia

Sabah tubuh syarikat minyak dan gas

HAJIJI Noor (tiga kiri) bersama Mohd. Bakke (tiga kanan) menyaksikan pertukaran dokumen CCA yang dimeterai di Menara Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sabah melakar sejarah tersendiri apabila mengumumkan penubuhan SMJ Petroleum Sdn Bhd, iaitu syarikat minyak dan gas milik penuh kerajaan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penubuhan syarikat itu selaras dengan keputusan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai antara kerajaan negeri dan syarikat minyak nasional, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) hari ini.

Beliau berkata, SMJ Petroleum akan menerajui penyertaan komersial negeri dalam industri minyak dan gas serta menyelaras semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri bagi memastikan terma dan syarat CCA berjaya dilaksanakan demi kepentingan Sabah.

“Adalah menjadi aspirasi rakyat kita bahawa Sabah akan mendapat lebih banyak daripada industri minyak dan gasnya,” katanya semasa majlis menandatangani CCA bersama Petronas di Menara Kinabalu hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Kewangan II, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Pengerusi Petronas Tan Sri Mohd. Bakke Salleh dan Presiden, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik.

Hajiji berkata, menerusi CCA, syarikat atau kontraktor daripada Sabah boleh menyertai program pembangunan vendor. Malah, Petronas turut memberi jaminan untuk memberi lebih banyak kontrak kepada rakyat Sabah dalam proses tender.

Apa yang penting, Petronas juga komited untuk membayar tunai royalti minyak dan Cukai Jualan Negeri sebagai sebahagian daripada perjanjian perkongsian hasil yang lebih besar.

“Adalah penting untuk dinyatakan di sini bahawa CCA akan memelihara hak perundangan negeri dengan menyediakan perlindungan menyeluruh demi kepentingan negeri,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, CCA akan mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif bagi industri minyak dan gas di Sabah termasuk luar pesisir dan darat.

“Bersama Petronas, Sabah akan membangunkan industri minyak dan gas dengan memastikan situasi menang-menang untuk negeri ini serta mewujudkan imej baharu bagi industri berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, Sabah boleh menjadi antara pemain industri minyak dan gas yang kukuh menerusi syarikat SMJ Petroleum yang akan mendapat bimbingan daripada Petronas.

CCA adalah dokumen yang paling bagi Sabah dan Petronas sejak 16 Jun 1976, apabila perjanjian pembayaran tunai (royalti) dipersetujui, yang ditandatangani antara Sabah dan Petronas.

Hajiji turut mengumumkan penubuhan beberapa jawatankuasa di bawah kerjasama berkenaan iaitu Dialog Strategik Tahunan (ASD), Jawatankuasa Penyelarasan Bersama (JCC) serta jawatankuasa-jawatankuasa kecil dalam bidang minyak dan gas yang akan dianggotai oleh kerajaan negeri dan Petronas.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.