PUTRAJAYA: Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342 pindaan 2021) perlu diluluskan segera bagi memastikan kesinambungan dan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan bagi membendung penularan Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ini ditambah lagi dengan penularan varian baharu termasuk Omicron dan sekiranya ia tidak diluluskan segera, dibimbangi akan menjejaskan langkah pencegahan kawalan penyakit oleh Kementerian Kesihatan.
“Ahli Parlimen akan berbahas dan kalau ada persetujuan, ia (pindaan) boleh diluluskan. Mungkin di dalam perbahasan itu, akan ada tingkatkan penambahbaikan dan cadangan dikemukakan oleh Kementerian Kesihatan.
“Kebimbangan Kementerian Kesihatan ialah jika perbahasan ini berpanjangan, mungkin akan tergendala kesinambungan KKM dalam melaksanakan pencegahan kawalan penyakit,” katanya pada taklimat media berkenaan Pindaan RUU Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342 pindaan 2021) di sini hari ini.
Beliau berkata, justeru, pindaan yang dibentangkan itu diharap mendapat persetujuan ahli Parlimen dalam memastikan pelaksanaannya secepat mungkin memandangkan negara masih berperang melawan Covid-19.
“Selain itu, kebimbangan kita dengan kes Covid-19 yang semakin meningkat di United Kingdom dan Eropah. Dijangkakan dalam tempoh dua atau tiga bulan, Malaysia selalunya menghadapi keadaan yang sama.
“Apa yang kita laksanakan ialah memperbaiki akta ini supaya langkah pencegahan dan kawalan kesihatan awam dapat dimantapkan,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham berkata, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342 pindaan 2021) telah diwartakan pada 8 September 1988 serta berkuat kuasa pada 1 April 1989 merupakan akta lama dan berusia 32 tahun.
“Pindaan telah dibuat beberapa kali tetapi hanya melibatkan senarai penyakit berjangkit yang wajib dinotifikasi. Semasa pandemik Covid-19, banyak peraturan-peraturan telah digubal bagi menguatkuasakan aktiviti kawalan dan pencegahan penularan Covid-19.
“Pindaan terkini yang dicadangkan adalah berasaskan kepada peruntukan-peruntukan dalam Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang telah diungkaikan oleh Dewan Rakyat pada 25 Oktober lalu dan Dewan Negara pada 8 Disember lalu,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Kawalan Penyakit, Datuk Dr Norhayati Rusli berkata, cadangan lima peruntukan baharu dan lima pindaan itu melibatkan Bahagian I, Bahagian IV, Bahagian V dan Bahagian VI.
Antaranya, Bahagian I melibatkan tafsiran terhadap pegawai diberi kuasa dalam Seksyen 2 Akta 342, Bahagian IV pula membabitkan Seksyen 10, Seksyen 14A, Seksyen 5A, Seksyen 21A, Bahagian IVA yang membabitkan Seksyen 21B dan Seksyen 21C.
Seterusnya, pindaan yang dibuat dalam Bahagian V melibatkan Seksyen 22A, Seksyen 24 dan Seksyen 25 manakala, Bahagian VI pula melibatkan Seksyen 31 iaitu kuasa membuat peraturan.-UTUSAN ONLINE