Rugi RM19,000 disamun dua lelaki berparang - Utusan Malaysia

Rugi RM19,000 disamun dua lelaki berparang

IMEJ suspek bersenjatakan parang yang menyamun tiga sekeluarga di Kampung Seri Perkasa, Hutan Melintang dekat Bagan Datuk semalam. - UTUSAN/IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Tiga sekeluarga berdepan detik cemas apabila disamun dua lelaki hingga menyebabkan mereka kerugian RM19,000 di Kampung Seri Perkasa, Hutan Melintang di sini semalam.

Dalam kejadian sekitar pukul 7.30 pagi itu, dua lelaki bersenjatakan parang itu telah melarikan dua utas rantai emas, satu bentuk cincin emas dan wang tunai RM1,000.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian berlaku ketika pengadu berusia 23 tahun berada di kedai runcitnya sebelum didatangi dua lelaki menaiki motosikal jenis SYM berwarna biru.

Katanya, seorang daripada suspek telah mencekik leher mangsa sambil mengacukan parang dan memberi amaran agar tidak membuat bising.

“Selepas tangan mangsa diikat dengan pita pelekat berwarna hitam, kedua-dua suspek mengarahkan lelaki itu masuk ke dalam rumah yang terletak bersambung di belakang kedai.

“Apabila sampai di bilik yang didiami pakcik pengadu, suspek telah menutup muka lelaki berusia 53 tahun itu dengan selimut dan mengikat tangannya sebelum menggeledah laci almari dan mengambil barang kemas,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut beliau, suspek kemudian telah masuk ke bilik adik pengadu namun lelaki itu telah menjerit dengan kuat hingga mengejutkan suspek yang kemudian bertindak melarikan diri dengan menunggang motosikal.

“Dalam kejadian itu, ketiga-tiga mangsa tidak cedera. Barang kemas yang hilang adalah milik pakcik pengadu manakala wang tunai yang disamun pula adalah hasil jualan kedai runcit. Anggaran kerugian kira-kira RM19,000. 

“Usaha mengesan kedua-dua suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan berhubung terus dengan pegawai penyiasat, Inspektor Raden Mohd. Azlan Raden Perhan di talian 013-8454541. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya