Program 100 hari AKM bantu lonjak ekonomi PKS - Utusan Malaysia

Program 100 hari AKM bantu lonjak ekonomi PKS

WAN Noor Zamran memperkenalkan produk baharu syarikatnya ketika program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas hampir dua tahun tidak dapat berniaga dan mengetengahkan produk secara fizikal, pempamer Program 100 Aspirasi Keluarga Malaysia yang berakhir semalam menyifatkan acara itu sebagai sebahagian platform pelonjak sektor ekonomi negara pasca Covid-19.

Berdasarkan tinjauan Utusan Malaysia, rata-rata daripada mereka yang merupakan peniaga kecil dan sederhana (PKS) berpuas hati selepas mencapai nilai sasaran jualan serta dapat mengetengahkan produk masing-masing.

Bagi pemilik syarikat pastri Mad About Cafe (M.A.C), Wan Noor Zamran, 50, dia menyertai program seumpama ini bukan sekadar mahu mengejar keuntungan semata-mata, sebaliknya untuk memperkenalkan beberapa produk baharu syarikatnya kepada orang ramai.

Malah katanya, dia juga menggunakan kesempatan dengan mengunjungi ruangan pameran agensi kerajaan seperti Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) untuk tujuan padanan perniagaan.

“Hampir dua tahun kami tidak dapat berniaga dan menyertai program sebegini dengan hanya memberi fokus kepada perniagaan secara dalam talian.

“Justeru dalam penyertaan saya selama empat hari ini, saya bukan sekadar dapat menjual, tetapi mengetengahkan produk dan menyertai pelbagai program keusahawanan serta mendapat maklumat lengkap dalam bidang ini. Saya sangat berharap agar diadakan lagi pada masa depan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula Khamis sehingga semalam melibatkan 31 kementerian dengan pelbagai aktiviti.

Dalam pada itu, Eksekutif Jualan Karyaneka, Zulfadzle Abdul Latip berkata, dia berpuas hati dengan penganjuran acara ini dan berharap akan ditambah baik pada masa akan datang bagi menerima pengunjung lebih ramai.

“Secara keseluruhan, ia sangat-sangat membantu kami sebagai salah satu strategi pemasaran dan medium untuk produk-produk tempatan.

“Namun, saya berharap acara yang sangat menarik ini akan ditambah baik dari segi aliran keluar masuk pengunjung ke kawasan ini, ” jelasnya.

Dalam pada itu, Eksekutif Jualan Ryvera Chocolate & Confectionery Sdn. Bhd. Muhamad Nasrul Abdul Razak berkata, dia dapat berjumpa dan berkongsi pengalaman dengan rakan niaga yang lain serta berkongsi idea untuk meningkatkan perniagaan.

“Di sini ada pelbagai prospek perniagaan yang masing-masing mempunyai idea menarik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN