KUCHING: Kerajaan negeri melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) didakwa membeli undi penganut Kristian khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba’kelalan dengan mengedarkan cek kepada pihak gereja semasa berkempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Sabtu ini.
Calon DUN Ba’kelalan dari Parti Sarawak Bersatu (PSB), Baru Bian berkata, amalan tersebut amat mengecewakan kerana Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menerajui kerajaan negeri sanggup melakukan tindakan tidak bermoral dengan menggunakan badan itu demi agenda politik.
Keadaan itu sekali gus menimbulkan keraguan mengenai tujuan sebenar penubuhan UNIFOR yang dikhuatiri tidak ‘sesuci’ seperti dilakukan badan tersebut.
“Tidak salah gereja menerima pembiayaan daripada kerajaan, tetapi program ini dipersoalkan dan menimbulkan banyak tanda tanya. Terdapat lebih 800 gereja BEM di seluruh negeri, tetapi, hanya mereka berada di Lawas dan Trusan diberi wang seminggu sebelum pilihan raya.
“Ramai mengatakan tidak wajar menubuhkan unit sedemikian, iaitu menyatukan semua agama selain Islam dalam satu kumpulan, oleh kerana tiada agama rasmi di Sarawak, dikatakan semua agama di sini harus dilayan sama rata bukan yang ‘utama’ dan ‘yang lain’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas susulan laporan media tempatan semalam menyatakan, lebih RM1 juta telah diserahkan kepada 41 gereja BEM.
Ia berlaku semasa Pengarah UNIFOR, Richard Lon, dilaporkan mengagih wang kepada gereja-gereja Sidang Injil Borneo (SIB) seperti dilaporkan media tempatan di sini.
Baru yang merupakan bekas pemimpin PKR dan penyandang DUN Ba’kelalan mendapat makluman, RM3.21 juta akan diagihkan kepada 80 gereja BEM di Lawas dan Trusan manakala gambar penyerahan cek UNIFOR kepada gereja-gereja dilaporkan tular di media sosial.
Dalam pada itu, Baru berkata, pada PRN Sarawak Ke-11 lalu turut menyaksikan kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu didakwa membeli undi, dan dua hari sebelum pengundian, beberapa menteri Persekutuan melawat Lawas dengan mengumumkan kerajaan meluluskan RM5.5 juta untuk peralatan dan pembaikan 110 gereja di Ba’kelalan.
“Percubaan terang-terangan ini untuk merosakkan pengundi Ba’ Kelalan, dikutuk oleh pemimpin gereja dan orang-orang berprinsip di kawasan saya. Saya yakin bahawa pengundi cukup bijak mengetahui agenda politik ketika datang melawat dalam bentuk wang,” katanya.










